KUALA LUMPUR - [KEMAS KIN] UMNO dinasihatkan memikirkan semula kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan jika menganggap apa yang berlaku dalam kes Titah Adendum membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertentangan dengan perjuangan parti itu dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, pemimpin UMNO dalam kerajaan juga perlu menimbang untuk menyerahkan semula kuasa atau jawatan yang disandang mereka.
"Ini supaya kita (ahli UMNO) kembali bersatu dalam parti untuk menentukan sikap (haluan) parti kita dan tidak lagi bergantung kepada mana-mana parti politik lain.
"UMNO ada undang-undang dan Perlembagaan sendiri yang sepatutnya kita hormati, patuhi dan ikuti. Kalau tidak, tidak ada maknanya perjuangan UMNO selama ini sekiranya hanya kerana kerusi empuk," katanya pada sidang akhbar di sini pada Rabu.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Bagaimanapun, keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO apabila Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Nee Yin didakwa 'meraikan' perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh menegaskan, seandainya beliau menjadi Presiden UMNO ketika ini, beliau akan menarik diri daripada kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Soal duduk atau tidak dalam kerajaan tidak penting kerana yang mustahak adalah mengenai perjuangan kita dan soal ke mana kita nak pergi. Itu lebih penting berbanding jawatan.
"Jawatan ini sementara sahaja. Jika rakyat suka pada kita, naiklah kita tetapi perjuangan pula akan sampai ke anak, cucu dan cicit. Merekalah yang akan mewarisi perjuangan itu," ujarnya.
Tengku Razaleigh turut mempersoalkan sikap berdiam diri pemimpin UMNO dan tidak memberi pandangan dalam meringankan beban yang sedang ditanggung Najib.
Katanya, UMNO sepatutnya mengadakan mesyuarat atau perjumpaan untuk membincangkan mengenai ikhtiar seterusnya berhubung perkara berkenaan.
“Ini bukan soal pemerintahan tetapi soal ikhtiar untuk ringankan beban Najib. Sampai hari ini kita belum dengar khabar UMNO nak buat sidang (mesyuarat) di peringkat tertinggi untuk kaji kedudukan mengenai keputusan dibuat mahkamah.
"Walaupun Najib perlu menjalani hukuman seperti diputuskan mahkamah, usaha mendapatkan pengampunan masih wajar diteruskan atas pertimbangan kemanusiaan, memandangkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa berkait perkara itu," jelasnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment