KUALA LUMPUR — Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menegaskan persepsi lama bahawa masyarakat Cina sukar menerima Pas tidak lagi tepat.
Perubahan sikap pengundi yang kini menilai politik berdasarkan fakta dan prestasi bukan naratif lama, kata Ketua Penerangan DHPP, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Menurut beliau, pandangan sedemikian tidak mencerminkan realiti semasa, termasuk peningkatan sokongan bukan Islam terhadap Pas dan Perikatan Nasional dalam beberapa pilihan raya lalu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang menyatakan masyarakat Cina kononnya sukar menerima Pas.
Menurutnya, penilaian politik masyarakat Cina hari ini lebih tertumpu kepada isu ekonomi, tadbir urus baik, integriti dan penyelesaian masalah rakyat.
Balachandran seterusnya berkata, kajian bebas semasa PRU-15 dan PRN 2023 turut menunjukkan peningkatan undi bukan Islam di kawasan campuran terhadap Pas dan PN, membuktikan perubahan dinamik politik tidak lagi boleh dinafikan.
“Pengundi Cina sekarang membuat keputusan berdasarkan data dan pengalaman sebenar, bukan lagi persepsi lama. Persepsi negatif terhadap Pas selama ini banyak dibentuk oleh naratif politik yang dikembangkan DAP sejak bertahun-tahun manakala MCA pula tidak pernah memainkan peranan membetulkan gambaran tersebut meskipun sedar banyak dakwaan tidak berasaskan realiti.
“Akibatnya ramai pengundi Cina terperangkap dalam propaganda dan gagal melihat pentadbiran Pas dengan lebih objektif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Balachandran menegaskan, pengalaman masyarakat bukan Islam yang tinggal di negeri-negeri ditadbir Pas membuktikan realiti berbeza daripada dakwaan sesetengah pihak.
Katanya, rumah ibadat bukan Islam tidak pernah ditutup, bantuan diagihkan merentas kaum, sekolah vernakular terus disokong dan komuniti minoriti seperti Siam dihormati.
“Pentadbiran negeri Pas juga bebas daripada skandal besar, sesuatu yang semakin mendapat perhatian masyarakat bukan Islam yang menghargai ketelusan dan kestabilan.
“Mereka yang tinggal di negeri-negeri ini tahu realiti yang sebenar, dan ramai tampil berkongsi pengalaman positif,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kewujudan DHPP sebagai bukti Pas lebih inklusif daripada persepsi lama yang dibentuk terhadap parti itu.
DHPP, katanya, membuka ruang rasmi kepada bukan Islam termasuk masyarakat Cina, India, Siam dan Sikh untuk menyertai Pas memegang struktur kepimpinan sendiri bahkan bertanding atas tiket Pas.
“Ini menunjukkan komitmen Pas terhadap politik inklusif dan dialog terbuka. DHPP berfungsi sebagai suara rasmi bukan Islam dalam parti dan diberi tempat dalam Muktamar,” ujarnya.
Jelas beliau, masyarakat Cina hari ini mahukan politik matang yang berasaskan tindakan bukan retorik atau pengulangan naratif lama.
Atas dasar itu, Pas melalui DHPP memilih untuk mendengar secara langsung aspirasi pengundi Cina, turun ke lapangan dan membina keyakinan melalui pendekatan yang lebih terbuka.
Beliau menegaskan, Pas tidak menutup pintu perbincangan dengan mana-mana parti politik termasuk MCA kerana hubungan merentas kaum dan parti penting untuk masa depan negara.
“Pintu dialog sentiasa terbuka. Masyarakat Cina semakin terbuka, dan mereka menilai berdasarkan rekod, integriti dan keikhlasan politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment