ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlalu banyak berpolitik dalam program rasmi kerajaan telah menenggelamkan maklumat penting berkaitan dasar dan inisiatif Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, rakyat tidak berminat untuk mendengar cerita peribadi atau sindiran politik berulang kali, sebaliknya mahu tahu secara jelas apakah manfaat sebenar yang dibawa oleh 167 program di bawah Kerajaan Madani.
“YAB Dato’ Seri sendiri kena ambil peluang dalam program-program kerajaan untuk cakap benda-benda yang tenggelam tu supaya timbul. Tak perlu cakap politik memanjang dalam program kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau mengulas laporan media bahawa Anwar meluahkan rasa kesal apabila maklumat mengenai dasar dan pencapaian kerajaan tidak sampai kepada rakyat seperti yang diharapkan, sebaliknya kandungan negatif lebih mendapat perhatian di media sosial.
Perdana Menteri itu berkata, terdapat kira-kira 167 program kerajaan namun tidak sampai kepada rakyat dan menyifatkan media sosial sebagai medan yang lebih banyak digunakan untuk menghina berbanding membina menyebabkan mesej kerajaan sering kali tenggelam.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Anwar adalah tokoh paling berpengaruh untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat, namun peluang itu disia-siakan apabila pentas rasmi digunakan untuk menyerang pihak lawan dan membangkitkan isu remeh.
Beliau turut mempersoalkan, mengapa Perdana Menteri lebih gemar menceritakan kisah jemputan pemimpin luar negara atau perbualan telefon, berbanding memperincikan program-program yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Kalau PM sendiri tak cerita, orang pun tak menyambung, tenggelamlah program kerajaan. Bila PM asyik cakap politik, orang tu salah, orang ni sakau, orang tak betul, orang tu begitu begini... orang ramai jadi meluat, maka timbullah komen jelek dan maki hamun serata alam.
“Orang betul-betul nak tahu 167 program kerajaan PMX tu apa dia? Cuba cerita,” ujarnya.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment