JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mencabar DAP untuk membawa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke peringkat semakan kehakiman di mahkamah.
Ketuanya, Noor Azleen Ambros berkata, langkah tersebut wajar bagi menamatkan serta memuktamadkan polemik berpanjangan berhubung peperiksaan UEC.
“Sekiranya mahkamah memutuskan bahawa UEC adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan serta memenuhi aspirasi dan dasar nasional dalam bidang pendidikan, maka tiada lagi alasan untuk kerajaan menangguhkan pengiktirafan UEC.
“Keputusan semakan kehakiman ini akan menoktahkan segala polemik berhubung UEC, sekali gus membolehkan kerajaan dan semua pihak memberi fokus sepenuhnya kepada isu-isu yang lebih mendesak dalam memperkukuh dan memperbaiki sistem pendidikan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Pemuda UMNO Johor melahirkan rasa kesal apabila DAP, buat kesekian kalinya, terus menjadikan isu perpaduan nasional dan pendidikan sebagai bahan permainan politik yang sempit dan bermusim.
Desakan agar UEC diiktiraf, katanya, bukan perkara baharu dan sengaja diulang serta dipolitikkan secara bermusim, khususnya menjelang pilihan raya.
Tegasnya, menjadikan isu pendidikan dan perpaduan nasional sebagai alat politik adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang.
Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan negara.
Beliau menegaskan bahawa sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan Bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.
Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming yang dilaporkan berkata bahawa parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri berhubung pengiktirafan UEC.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment