1. Ramai merumuskan rakyat Sabah menolak PMX, PH dan BN. Namun apa kurangnya PN, terutamanya BERSATU. Gendang sentimen ‘Sabah for Sabahans’ yang dipalu oleh GRS dan Warisan mengesani dengan ketaranya terhadap semua parti yang berpangkalan di Semenanjung.
2. Benar PAS mendapat impak yang agak positif dari PRN Sabah kali ini melalui kemenangan ‘pembuka tirai’ di Karambunai dan peningkatan jumlah undi di 5 DUN lain yang ditandingi. Namun, hakikatnya belum cukup untuk PAS menggapai walau 1 Parlimen dari Sabah dalam PRU16 nanti.
3. BERSATU semakin longlai ditambah oleh imej melompat beberapa ADUN-nya selepas PRN terdahulu. Dan rakyat Sabah khususnya sedar BERSATU sedang berada dalam fasa perpecahan retak menunggu belah walaupun cuba disembunyikan dalam tempoh kempen.
4. Justeru, mampukah PN meraih beberapa kerusi Parlimen dari Sabah (dan juga Sarawak) dalam PRU16 nanti? Adakah PN akan pulang dengan tangan kosong macam situasi yang dideritai oleh DAP sekarang? Atau wajarkah PN hanya mengharapkan koalisi di sana akan menyokong dalam pembentukan kerajaan pusat jika PN mendapat kerusi paling dominan?
5. Kalau PN benar-benar ingin menuju Putrajaya pada PRU16 nanti, beberapa langkah strategik perlu diambil. Antaranya, kemelut dalam BERSATU mesti diselesaikan dengan segera. Alangkah baiknya jika pemimpin-pemimpin BERSATU mencari solusi ‘win-win situation’.
6. Walaupun PN sudah mempunyai visi yang kelas namun misinya masih belum jelas. Di peringkat ini PN perlu menyelesaikan kemelut kepimpinan. Kemelut ini umpama bangkai gajah yang tidak lagi dapat ditutup dengan nyiru. BERSATU wajar memberi kepercayaan kepada PAS untuk ‘leading’ memandangkan integriti dan kestabilan PAS buat masa ini.
7. Bagi PAS pula, agenda ‘PAS for all’ perlu digerakkan kembali. Begitu juga kemenjadian Dewan Himpunan Penyokong PAS yang belum mencapai tahap yang diingini. Kini terbit sedikit sinar kepada PAS apabila sokongan pengundi Cina dan India kepada DAP berada dalam pola menurun. DHPP perlu berperanan untuk menarik penyokong DAP yang merembes selepas terhakis kepercayaan terhadap parti yang telah tergadai prinsip CAT-nya.
8. Berdasarkan mood dan sentimen Sabah for Sabahan yang kian mengukuh tertancap di hati rakyat Sabah, PN harus menerima hakikat sukar untuk mendapat walau satu kerusi Parlimen pun dari sana. Maka hendak tak hendak, jalan yang boleh difikirkan ialah menentukan dan merisik rakan strategik, sama ada GRS atau Warisan atau setidak-tidak menjalin hubungan yang baik dengan parti Sabah tersebut.
9. Akhirnya, UMNO, BERSATU dan PAS patut belajar sesuatu dari politik Sabah: bersatu teguh, bercerai roboh. Noktah.
#NekadBersamaIslam
#BerpolitikBiarMenguntungkanIslam
#PAS4ALL
#PASPNBest
BayangDiAir,
1/12/2025

No comments
Post a Comment