KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman berkenaan Titah Addendum oleh Datuk Seri Najib Razak mempunyai kesan besar bukan sahaja terhadap bekas perdana menteri itu tetapi juga ke atas institusi Raja-Raja Melayu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau tidak berniat untuk mengkritik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu atau untuk menghina keputusan mahkamah.
Tetapi keputusan mahkamah tersebut jelas menolak kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong, yang bukan membebaskan Najib daripada tuduhan tetapi sekadar meringankan hukuman kepada tahanan di rumah baki sisa hukuman Najib adalah sesuatu yang mencemar dan menghina saki baki sedikit kuasa Raja Raja Melayu yang masih ada dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, keluhuran Perlembagaan Persekutuan memang wajib dipertahankan dan dijunjung.
Namun begitu pentafsiran isu keperlembagaan tidak wajar keras dan kaku sehingga meremehkan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi salah satu tiang seri negara demokratik Malaysia yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, hujah beliau.
Hassan yang juga Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya berkata, sekarang rakyat bertanya mengapa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini pada tahun 2018 boleh mengampunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepenuhnya sehingga beliau boleh bebas dari penjara walaupun tempoh tahanan penjaranya masih ada.
Mengapa Anwar Ibrahim boleh tetapi Najib Razak tidak boleh?, katanya.
Oleh itu, Hassan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini oleh Hakim Alice Loke perlu dirujuk ke Mahkamah Rayuan seterusnya oleh hakim-hakim kanan rayuan supaya kemungkinan kekhilafan hakim Mahkamah Tinggi itu tidak menjadi satu precedent yang meletakkan kuasa-kuasa prerogatif dan kuasa budi bicara Raja-Raja Melayu terhakis sehingga institusi Raja Berlembagaan itu langsung tidak ada saki baki kedaulatannya.
“Perlu diingat oleh semua pihak termasuk hakim-hakim mahkamah sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan telah wujud institusi raja- raja Melayu di sembilan buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
“Raja-Raja Melayu tersebut telah bersetuju menerima dan menghormati aspirasi rakyat yang mahukan sebuah negara demokrasi berparlimen dengan menerima hakikat kehilangan sebahagian besar kuasa-kuasa raja feudal untuk membina sebuah negara demokratik dan progresif.
“Sebagai timbal balasnya Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan beberapa kuasa budi bicara dan kuasa prerogative Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu termasuklah dalam soal memberi pengampunan,” jelas beliau.
Jadi institusi mahkamah perlu membandingkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh Yang Arif Alice Loke dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mempertahankan dan mengekalkan keputusan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong terhadap Anwar pada tahun 2018.
Katanya, semua permohonan untuk mencabar keputusan pengampunan ke atas Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan seterusnya ditolak juga oleh Mahkamah Rayuan Malaysia dan Mahkamah Persekutuan.
Jadi adalah pelik apabila Hakim Alice Loke tidak menghadam, menghayati dan mengambil iktibar dari kes pengampunan Anwar. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment