NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahkamah keluar larangan bersuara prosiding lucut hak harta Daim



KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan perintah larangan bersuara yang menghalang butiran dan identiti pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding lucut hak harta keluarga bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin didedahkan kepada umum.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan permohonan keluarga berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, M. Esther Jacyntha tidak membantahnya.

Terdahulu, peguam, Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili keluarga tersebut memberitahu, perintah larangan dipohon bagi menghalang pendedahan maklumat sensitif yang boleh menjejaskan anak guam.

Beliau berkata, perintah berkenaan membabitkan larangan menyiarkan nama individu, nombor akaun bank dan maklumat lain yang bersifat peribadi.

“Maklumat terbabit tidak boleh didedahkan, bukan mengenai prosiding tetapi membabitkan hak peribadi anak guam berkaitan maklumat sensitif,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan 4 Februari depan untuk prosiding supaya pihak ketiga yang berkepentingan hadir ke mahkamah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui notis permohonan yang difailkan pada 28 November lalu memohon perintah mahkamah untuk melucut hak harta terbabit.

Agensi itu juga memohon perintah untuk disiarkan dalam warta mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan, hadir ke mahkamah.

Pihak berkepentingan itu hendaklah menunjukkan sebab mengapa harta berkenaan tidak patut dilucut hak.

Permohonan itu juga menyatakan, Pendakwa Raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) telah berpuas hati bahawa harta itu yang telah disita oleh SPRM, dilucut hak di mana tiada pendakwaan jenayah atas suatu kesalahan di bawah akta berkenaan.

Ia juga menyatakan harta terbabit adalah berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM (gagal mematuhi notis mengisytiharkan harta).

Sementara itu, Nizamuddin dalam kenyataan media berkata, seperti sebelum ini, permohonan tersebut juga tidak menyatakan kesalahan yang didakwa dilakukan mengikut Akta SPRM atau mana-mana undang-undang bertulis yang berkaitan melainkan tuduhan berkaitan pematuhan tatacara siasatan di bawah Seksyen 36.

Nizamuddin berkata, siasatan terhadap keluarga Daim dimulakan oleh pihak berkuasa sejak Februari 2023 dan kini setelah hampir tiga tahun, masih tiada sebarang jawapan di sebalik semua usaha anak guamnya untuk mendapatkan penjelasan terbuka.

“Kegagalan dan salah guna kuasa secara berterusan ini menimbulkan kebimbangan serius mengenai pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang.

“SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan perlu menjalankan kuasa mengikut kedaulatan undang-undang dan tidak terus menindas anak guam kami,” dakwanya. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo