KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Selangor menyifatkan tindakan pemimpin DAP yang menghina Datuk Seri Najib Razak berkaitan dengan Titah Adendum sebagai biadab kerana tidak menghormati Perlembagaan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Johan Abd Aziz berkata, ia mengesahkan kebimbangan rakyat DAP gagal menghormati asas Raja Berperlembagaan serta terus melihat isu kenegaraan melalui lensa politik penuh keangkuhan.
“Waktu mahu menubuhkan kerajaan, DAP menggunakan Titah Yang di-Pertuan Agong. Apabila keputusan tidak memihak, titah yang sama diperkecil dan diraikan pula.
“Kuasa pengampunan Raja-Raja Melayu, satu-satunya kuasa prerogatif yang termaktub dalam Perlembagaan dipersoal secara terbuka dan diraikan tanpa rasa hormat,” katanya menerusi satu hantar di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan Titah Adendum, hari ini.
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 pada 29 Januari tahun lalu.
Johan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dusun Tua berkata, isu sebesar itu bukan bahan sindiran atau sambutan kerana ia perkara serius yang menyentuh kedaulatan Perlembagaan dan institusi Raja-Raja Melayu.
“Apabila pimpinan dan wakil rakyat DAP sendiri mempamerkan sikap sebegini, maka jelaslah bahawa masalahnya bukan sekadar individu.
“Ia adalah refleksi parti yang semakin hilang ADAB, sensitiviti dan rasa hormat terhadap asas kenegaraan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment