NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MCA tak perlu takut `lautan kopiah’ Pas, ayuh sertai PN – Haim



KUALA LUMPUR – Tiada apa yang perlu dibimbangi oleh MCA untuk membuat permohonan menyertai Perikatan Nasional (PN) dan meninggalkan Barisan Nasional (BN) seperti mana yang dibuat oleh MIC.

Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, sejarah telah menunjukkan dengan jelas bahawa Pas adalah parti yang konsisten dalam perjuangannya.

Menurut beliau, pada asasnya Pas komited membina Malaysia yang adil, progresif dan maju selari dengan nilai-nilai Islam dan sejagat.

“Sekiranya MCA bimbang tentang Islam yang menjadi asas perlembangaan Pas, itu bermakna kepimpinan MCA masih terperangkap dengan kefahaman sempit dan keras yang sering digambarkan oleh UMNO terhadap Pas sejak puluhan tahun dahulu,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Menurut Hail Hilman, MCA tidak perlu bimbang sama sekali dengan lautan `kopiah putih’ kerana di dalam Pas hari ini juga ada lautan profesional dalam pelbagai bidang yang berkelulusan sama ada dari dalam atau luar negara.

Ujarnya, gabungan golongan agamawan dan profesional di dalam Pas itu memberi gambaran betapa dinamik dan progresifnya Pas dan orang Melayu hari ini.

“Malaysia pasti akan lebih baik lagi apabila dua lagi bangsa terasnya iaitu Cina dan India bersama membina Malaysia baharu,” katanya.

Tambah Hail Hilman, tiada apa lagi yang perlu dipertahankan oleh MCA dan MIC dalam konteks kelangsungan BN kerana kecenderungan UMNO untuk membina jajaran baru bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP semakin jelas berbanding menyusun kebangkitan bersama MCA dan MIC.

Malah jika MIC dan MCA masih di dalam BN, secara asasnya parti itu hanya akan bertanding di tiga kerusi Parlimen sahaja iaitu Ayer Hitam dan Tanjung Piai (MCA) dan Tapah (MIC) di samping mana-mana kerusi yang gagal dimenangi Pakatan Harapan (PH), atau dengan kata lain di kerusi yang mereka ‘tidak mahu’.

Sehubungan itu, tambah beliau, MCA dan MIC mempunyai peluang lebih baik jika bersama PN dalam usaha mereka membina kembali imej, reputasi serta kepercayaan rakyat.

“Pas dan Bersatu sudah jelas akan kerusi masing-masing dan lawan mereka di PRU-16 nanti adalah UMNO dan PKR. Jadi jika MCA bersama PN, MCA berpeluang untuk bertanding di semua kerusi yang ditandingi oleh DAP.

“Jika disusun dengan baik contohnya kerjasama strategik di antara MCA dan Gerakan, satu kekuatan baru di blok masyarakat Cina akan dapat dibentuk oleh PN,” katanya.

Tambah Haim Hilman, Pas yakin MCA dan MIC serta parti gabungan lain dalam PN mampu membangunkan ekonomi negara dan rakyat dengan lebih baik.

Selain itu, katanya, gabungan politik tersebut juga mampu menawarkan tadbir urus lebih cekap dan telus di setiap peringkat pentadbiran, membentuk sistem pendidikan lebih bersepadu yang mampu menjadi medium perpaduan kaum terbaik di negara ini.

“Jadi, ayuh MCA, MIC dan semua untuk bersama PN dalam usaha memberi tawaran dan harapan lebih baik buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo