JOHOR BAHRU – Kenyataan berulang Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mendesak parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan terus mencetuskan persoalan apabila sehingga kini ia tidak disusuli dengan sebarang tindakan konkrit.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Faezudin Puad berkata, sehingga kini UMNO masih kekal dalam Kerajaan Perpaduan tanpa sebarang langkah jelas untuk keluar.
"YB (Dr Akmal Saleh), nampak bersungguh betul nak keluar kerajaan perpaduan. Hampir setiap hari buat kenyataan "Dah tiba masanya”. Tapi sampai sekarang tak kunjung tiba.
"Kalau belum cukup berani, tak usah keluar kenyataan demi kenyataan yang boleh gugat keharmonian kerajaan perpaduan," katanya dalam hantaran di Facebook beliau.
Pada Isnin, Dr Muhamad Akmal dilaporkan secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan daripada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menyatakan lebih baik UMNO menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus 'dihina'.
ADUN Merlimau itu pada Rabu sekali lagi mengulangi gesaan "sudah tiba masanya" susulan kenyataan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa pemimpin UMNO dalam kerajaan juga perlu menimbang untuk menyerahkan semula kuasa atau jawatan yang disandang mereka.
Dalam pada itu, Faezuddin yang juga Ketua PKR Cabang Pulai menegaskan Kerajaan Perpaduan sedang memberi tumpuan melaksanakan dasar dan polisi yang membawa manfaat besar kepada rakyat, dan sebarang gangguan politik hanya akan menjejaskan usaha murni tersebut.
Beliau turut mempersoalkan sama ada segelintir pemimpin UMNO yang lantang itu sanggup melihat perjuangan kerajaan yang sedang berusaha memulihkan ekonomi dan kebajikan rakyat terganggu.
Selain itu, Faezudin berkata, desakan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan bukanlah pendirian majoriti kepimpinan parti tersebut.
“Saya melihat hanya YB dan beberapa kerat pemimpin UMNO sahaja yang menyokong desakan ‘sudah tiba masanya’ ini.
"Kebanyakan pemimpin UMNO memilih untuk berdiam diri atau sependapat dengan pandangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang secara terbuka menyatakan adalah satu kerugian jika UMNO menjadi pembangkang,” katanya.
Sehubungan itu, Faezudin menyeru agar semua pihak menghentikan polemik politik yang tidak berkesudahan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat.
“Sudah-sudahlah. Marilah kita fokus membantu rakyat kerana itu jauh lebih menjadi keutamaan,” katanya.
Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kekal menjalani hukumannya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Bagaimanapun, keputusan itu mengundang pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan pemimpin dan ahli UMNO apabila Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin didakwa 'meraikan' perkara berkenaan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment