NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO Bentong tuntut kerusi DUN Sabai jika MIC keluar BN



BENTONG – UMNO Bahagian Bentong akan menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabai pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika MIC menetapkan untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, ia kerana jentera UMNO Bahagian itu telah bekerja keras memastikan kemenangan calon MIC pada PRU15 yang lepas.

“UMNO Bentong kesal kerana segala usaha dan tenaga yang dicurahkan untuk memenangkan calon MIC seolah-olah tidak dipedulikan. 

“Malah, keputusan menyokong PN dilihat bercanggah dengan semangat setiakawan dalam BN,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zaini berkata, kerusi DUN Sabai bukan sekadar milik MIC semata-mata, sebaliknya kemenangan pada PRU15 adalah hasil kerjasama erat jentera UMNO dan BN di Bentong.

Beliau berkata, tindakan Pengerusi MIC Pahang, V. Arumugam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai menyokong usul keluar BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN) jelas tidak menghargai pengorbanan UMNO Bentong.

“Jika MIC keluar BN, maka kerusi itu sewajarnya dikembalikan kepada UMNO sebagai tanda keadilan politik. Kami tidak akan berdiam diri kerana pengundi Sabai juga sebahagian daripada tanggungjawab UMNO Bentong,” ujarnya.

Mohamad Zaini berkata, UMNO Bentong sentiasa konsisten mempertahankan BN sebagai wadah perjuangan politik, justeru sebarang tindakan keluar daripada gabungan itu dianggap mengkhianati mandat rakyat.

Katanya, keputusan MIC Pahang menyokong usul keluar BN menimbulkan keresahan dalam kalangan ahli akar umbi yang selama ini setia berjuang di bawah panji BN.

“UMNO Bentong tidak menolak kemungkinan akan menggerakkan jentera lebih awal di Sabai sebagai persediaan menghadapi PRU16. Kami mahu pastikan kerusi itu kembali kepada UMNO,” jelasnya.

Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN.

Ia selepas Timbalan Presiden, Datuk Seri M. Saravanan dilapor membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran sebelum itu berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo