NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Surat sokongan Setpol PM: Anwar tak cukup berani, bersikap lemah terhadap ketirisan



KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri sepatutnya dipecat, bukan sekadar ditegur keras bersabit kes mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Menurut bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkenaan, kes seperti itu bukan pertama kali berlaku, malah beliau sendiri pernah membincangkan beberapa aduan serupa sebelum ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyemak dan mengesahkan bahawa dakwaannya itu betul, namun Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri berkenaan masih kekal.

Dalam masa sama, Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi menegaskan, kes surat sokongan itu perlu dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan sama ada terdapat habuan bertukar tangan.

“Sebab itu dalam kes Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Dato’ Seri Shamsul Iskandar ini, sepatutnya ia jadi peluang kepada Dato’ Seri Anwar tunjukkan komitmen beliau menentang rasuah.

“Kalau setakat tegur keras, tetapi orang itu masih ada di situ, lama-lama berucap keras macam mana pun orang tak ambil serius.

“Takut nanti orang cakap depan cakap lain, belakang buat lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar telah menegur keras setiausaha politiknya kerana mengeluarkan surat sokongan kontraktor bagi sebuah projek hospital pada 2024.

Menurut Perdana Menteri pada sidang Dewan Rakyat, secara prinsip, tindakan setiausaha politik itu tidak boleh dilakukan dan peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sokongan sedemikian dengan perkara maksimum yang beliau sendiri buat adalah mencatat ‘sila teliti semula’.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan jawapan `menegur keras’ oleh Anwar tersebut sebagai tidak ada umph.

Katanya, ia memandangkan Anwar sehingga ke hari ini tidak pernah lekang dalam ucapannya berkenaan soal lawan rasuah dan menghentikan budaya sakau dalam kerajaan.

“Masa kita pembangkang, rakyat faham yang kita tidak ada kuasa. Sekarang dah tiga tahun jadi kerajaan.

“Kita tidak boleh salahkan rakyat kalau harapan itu tinggi supaya kesan usaha-usaha memerangi rasuah itu dirasai dengan mendadak,” katanya.

Beliau turut membangkitkan berkenaan sekian banyak laporan tangkapan terhadap pelaku rasuah, namun tidak banyak yang berakhir dengan sabitan dan dihukum.

Sebab itu, ujarnya, kerajaan tidak boleh menyalahkan rakyat sekiranya mereka agak sinikal dengan laungan anti rasuah yang dilaungkan Anwar selama ini.

Rafizi turut berkongsi statistik rasmi dari Menteri Undang-Undang mengenai usaha membanteras rasuah untuk membandingkan prestasi dari 2020 ke 2025.

“Maklumat mengenai rasuah – sebenarnya berkurang dari 7,440 dalam 2020 kepada 6,520 dalam 2024.

“Kertas siasatan ada peningkatan baik – naik dari 857 tahun 2020 kepada 1,163 tahun 2024.

“Yang nampak hasil ialah lebih banyak tangkapan dan diwar-warkan dalam berita – naik dari 998 tahun 2020 kepada 1,334 tahun 2024,” katanya.

Namun, jelas Rafizi, yang dituduh selepas disiasat dan ditangkap lebih rendah iaitu 480 dituduh pada 2020, menurun kepada 454 (2024).

Berdasarkan peratusan, jelasnya, yang dituduh berbanding kertas siasatan dibuka menurun dari 56 peratus pada 2020 kepada 39 peratus (2024).

“Maka sabitan bersalah juga lebih rendah zaman Madani ini, walaupun laungan anti rasuah lebih kuat.

“Tahun 2021, sabitan sebanyak 300 kes bersamaan 36 peratus kertas siasatan berakhir dengan sabitan, berbanding 2024 hanya 256 sabitan, iaitu 22 peratus berjaya disabitkan,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi mengingatkan cybertrooperskerajaan supaya tidak mengecam secara membuta tuli.

Ini kerana, tegasnya, apa yang dikongsikan beliau itu adalah fakta yang menunjukkan jurang di antara retorik anti rasuah dengan realiti sebenar yang dinilai rakyat. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo