- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi amaran bahawa pemilikan tanah Melayu yang semakin merosot menjadi faktor paling kritikal hingga mampu menjejaskan kuasa politik orang Melayu pada masa hadapan.
- Bekas Perdana Menteri itut turut menyentuh mengenai perpecahan parti-parti Melayu yang menurutnya melemahkan kuasa politik sehingga tiada satu parti Melayu mampu membentuk kerajaan secara kukuh.
- Mahathir memberitahu Malaysia sebenarnya memiliki pelbagai sumber kekayaan termasuk tanah, sungai, laut dan iklim yang menguntungkan, namun aset-aset ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang Melayu yang sering membiarkan pihak luar menguasai peluang tersebut.
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kaum Melayu kini berhadapan dengan ancaman kehilangan penguasaan terhadap negara sendiri sekiranya perpecahan dan kemiskinan dalam kalangan mereka tidak ditangani segera.
Mahathir memberi amaran bahawa pemilikan tanah Melayu yang semakin merosot menjadi faktor paling kritikal hingga mampu menjejaskan kuasa politik orang Melayu pada masa hadapan.
Menurut beliau, banyak kawasan bandar, pinggir bandar, ladang-ladang besar termasuk Pulau Pinang kini tidak lagi berada dalam pemilikan orang Melayu akibat penjualan tanah secara berterusan.
“Sekarang bandar-bandar membesar, tiga atau empat kali ganda dan kawasan pinggir bandar yang sudah jadi sebahagian dari bandar juga tidak lagi dimiliki orang Melayu. Mereka sudah jual tanah mereka. Hampir semua dari ladang besar milik penjajah dahulu juga terlepas dari pemilikan Melayu.
“Demikian juga dengan kawasan perumahan mewah, kawasan industri, kawasan theme park, ladang-ladang pertanian dan lombong. Semuanya tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu.
“Hampir keseluruhan Pulau Pinang tidak lagi dimiliki oleh orang Melayu, dengan kehilangan tanah milik orang Melayu, kawasan-kawasan pilihan raya Melayu juga akan berkurangan. Ini diburukkan lagi apabila orang Melayu enggan mengundi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Bekas Perdana Menteri itu turut menyentuh mengenai perpecahan parti-parti Melayu yang menurutnya melemahkan kuasa politik sehingga tiada satu parti Melayu mampu membentuk kerajaan secara kukuh.
“Sebaliknya jika orang Melayu bersatu dan meletakkan hanya satu calon sahaja bagi tiap kawasan, besar kemungkinan calon itu akan menang. Sudah tentu jika semua pengundi keluar undi kemenangan lebih terjamin.
“Penyelesaian masalah yang dihadapi oleh orang Melayu memang ada. Caranya ialah dengan orang Melayu bersatu, ketepikan parti atau NGO, semua berada di bawah satu payung besar sebagai orang Melayu. Perjuangan mereka ialah untuk selamatkan Tanah Melayu ini sebagai Tanah Melayu,” tegasnya.
Mahathir menjelaskan bahawa walaupun majoriti orang Melayu berada dalam kategori miskin, mereka masih mempunyai kekuatan melalui dana besar seperti PNB, KWSP, KWAP dan Tabung Haji.
Beliau berkata, dana-dana tersebut mampu memainkan peranan penting dalam meningkatkan ekonomi Melayu sekiranya digerakkan secara terancang oleh sebuah kerajaan yang dipimpin orang Melayu.
“Untuk elak dari Tanah Melayu dijual, dasar boleh diperkenal bahawa penjualan tanah dibeku melainkan jika pembeli ialah dana-dana yang disebut di atas.
“Walaupun tanah tidak boleh dijual, tetapi ia boleh disewa atau lease, dengan itu projek-projek boleh diteruskan, nilai tanah akan meningkat apabila dibangun, pemilik tanah akan dapat hasil dari kenaikan nilai ini.
Menurutnya, walaupun tindakan-tindakan itu boleh selamatkan pemilikan tanah oleh orang Melayu, tetapi penyelesaian masalah masih tidak dapat diatasi.
“Akhirnya masalah kemiskinan orang Melayu perlu diatasi. Kemiskinan boleh diatasi hanya dengan orang Melayu mengambil bahagian dalam perniagaan dan perusahaan, untuk ini sikap dan sifat yang ada pada orang Melayu perlu diubah,” katanya.
Mahathir memberitahu Malaysia sebenarnya memiliki pelbagai sumber kekayaan termasuk tanah, sungai, laut dan iklim yang menguntungkan, namun aset-aset ini masih belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang Melayu yang sering membiarkan pihak luar menguasai peluang tersebut.
“Iklim Malaysia juga sesuai dengan aneka jenis perniagaan dan perusahaan tetapi tidak banyak dari aset-aset ini dieksploitasi oleh orang Melayu, sebaliknya mereka rela supaya aset ini dieksploitasi oleh orang asing.
“Jika orang Melayu berhasrat untuk kurangkan kemiskinan, cara yang terbaik ialah dengan mereka berusaha eksploitasi aset mereka sendiri ataupun mengambil bahagian dalamnya,” jelasnya.
Katanya, perubahan nilai hidup juga penting, termasuk meninggalkan mentaliti memilih jalan mudah dan selesa, serta berani menyertai bidang perniagaan yang mencabar.
“Nilai hidup pegangan orang Melayu juga perlu dibetulkan, kegemaran terhadap cara-cara yang mudah menyebabkan orang Melayu pilih kerja bergaji dan tidak perniagaan.
“Nilai hidup ini perlu dialih supaya sanggup hadapi yang tidak mudah dalam usaha mengejar kejayaan dan kekayaan,” ujarnya. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment