NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

T20 persoal dasar baharu KWSP, dakwa tidak adil dan tergesa-gesa

KUALA LUMPUR, 5 Nov – Beberapa pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari golongan berpendapatan tinggi (T20) menyuarakan kebimbangan terhadap dasar baharu pengeluaran lebihan RM1 juta yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2026, dengan mendakwa ia menjejaskan perancangan kewangan mereka dan dibuat tanpa libat urus awam.

Menurut pencarum KWSP, Mohd Azmir Ramli, keputusan KWSP untuk menaikkan had lebihan daripada RM1 juta kepada RM1.1 juta pada 2026, RM1.2 juta pada 2027 dan RM1.3 juta pada 2028, dibuat “secara melulu” tanpa mengambil kira pandangan pencarum berusia bawah 55 tahun yang terkesan.

Katanya, makluman rasmi berhubung pindaan itu hanya dibuat pada 26 September lalu, memberikan tempoh kurang tiga bulan untuk pencarum menyesuaikan pelan kewangan masing-masing.

“Perancangan jangka panjang kami untuk menyelesaikan hutang, persediaan persaraan atau pendidikan anak-anak disekat mendadak selama tiga tahun. Ia tindakan yang tidak adil,” katanya dalam surat kepada media hari ini.

Mohd Azmir turut membidas alasan KWSP yang menggunakan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) sebagai asas penetapan lebihan simpanan RM1.3 juta pada usia 60 tahun, dengan menyifatkan pendekatan itu tidak wajar bagi pencarum berumur 55 tahun ke bawah.

Beliau berkata, kumpulan kecil pencarum yang memiliki lebih RM1 juta dalam akaun dan berumur di bawah 55 tahun hanya mewakili kurang 0.5 peratus daripada keseluruhan ahli KWSP, namun turut terjejas oleh dasar baharu itu.

“Ramai antara kami ialah bekas pekerja GLC seperti Telekom Malaysia dan Petronas yang bersara awal melalui skim VSS atau MSS. Tindakan ini akan menjejaskan kemampuan kami membayar hutang, membiayai pendidikan anak dan memulakan perniagaan,” jelasnya.

Tambah beliau, langkah mengehadkan pengeluaran juga tidak selari dengan hak pencarum terhadap simpanan sendiri, apatah lagi lebihan simpanan melebihi RM1 juta sebelum ini dikatakan tidak menerima sebarang dividen.

Katanya, isu ini perlu diberi perhatian segera kerana pelaksanaannya hanya memerlukan kelulusan jemaah menteri tanpa perlu dibahaskan di Parlimen berdasarkan Seksyen 54(c) Akta KWSP 1991 (Akta 91).

Beliau menyeru agar media dan pihak berkepentingan mengupas semula dasar itu secara terbuka sebelum ia dikuatkuasakan.

- 1Media.my

Nota editor: KWSP dalam penjelasan terdahulu menegaskan bahawa setiap ringgit simpanan, termasuk melebihi RM1 juta, masih menerima dividen tahunan yang diisytiharkan oleh pihak pengurusan.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo