Bercakap kepada pemberita selepas Perhimpunan Mega Warisan untuk kawasan Penampang, Kota Kinabalu dan Putatan malam tadi, Shafie berkata peruntukan itu meningkat mendadak berbanding RM2 juta tahun lalu, dan digunakan untuk serangan politik di platform seperti TikTok.
“Mereka membelanjakan RM8 juta untuk itu. Tahun lepas RM2 juta. Wang itu boleh dibelanjakan untuk pembangunan. Jangan mainkan isu perkauman,” katanya.
Bagaimanapun, Shafie tidak mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya.
Warisan nafi politik perkauman
Menurut Shafie, serangan itu bertujuan melabelkan Warisan sebagai parti berasaskan kaum, meskipun mesej parti menekankan perpaduan pelbagai etnik.
“Pertama sekali, kita mesti menyatukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum dan agama. Itu yang penting bagi kami,” katanya.
Shafie juga memberi bayangan bahawa dakwaan beliau merujuk kepada penggunaan dana kerajaan negeri untuk agenda politik tertentu, namun tidak menyebut secara spesifik pihak mana yang didakwa bertanggungjawab.
Tiada pakatan prapilihan raya
Dalam sidang media sama, Shafie menegaskan Warisan tidak akan membentuk pakatan prapilihan raya, dengan berkata pengalaman Sabah bersama pelbagai gabungan sebelum ini tidak menunjukkan hasil yang meyakinkan.
“Kita mahu mandat yang cukup kuat untuk mentadbir sendiri… cukup untuk kerajaan, dan kalau boleh, majoriti dua pertiga,” katanya.
Ditanya sama ada Warisan terbuka kepada pakatan selepas hari pengundian sekiranya gagal memperoleh majoriti mudah, beliau hanya menjawab: “Kami tidak bercakap tentang itu. Cuma bersikap positif. Rakyat Sabah didahulukan.”
Shafie berkata keyakinan Warisan datang daripada kerja akar umbi parti sejak empat tahun lalu dan percaya partinya berpotensi memenangi lebih banyak kerusi berbanding pilihan raya 2020, ketika Warisan meraih 29 kerusi.
Rakyat Sabah akan mengundi pada 29 November ini.

No comments
Post a Comment