KOTA KINABALU – Pilihan raya negeri Sabah semakin menyerupai perlumbaan antara keluarga politik berpengaruh, apabila nama-nama besar daripada istana, bekas ketua menteri, dan pengasas parti muncul semula — malah bertembung antara satu sama lain di gelanggang berbeza.
Penganalisis melihat PRN kali ini sebagai antara yang paling “berbau kekeluargaan” dalam sejarah politik moden Sabah, dengan hubungan pertalian darah menjadi faktor dominan dalam penentuan calon oleh gabungan-gabungan utama.
Setahun selepas Musa Aman mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, keluarganya kembali aktif dalam politik melalui pelbagai parti. Anak-anak Musa, abangnya, beberapa anak saudara serta seorang menantu semuanya dicalonkan — bukan di satu parti, tetapi berpecah di blok berbeza.
Fenomena ini, kata pemerhati, memperlihatkan bagaimana pengaruh keluarga politik di Sabah kekal kuat meskipun berlaku perubahan kerajaan berturut-turut sejak 2018.
“Sabah sentiasa mempunyai DNA politik berasaskan keluarga, tetapi pilihan raya kali ini membawa fenomena itu ke tahap yang jauh lebih ketara,” kata seorang penganalisis yang tidak mahu dinamakan.
Langkah keluarga-keluarga politik turun dalam parti berbeza turut menimbulkan persoalan mengenai kesetiaan politik, strategi survival, dan hubungan rapat antara elit ekonomi serta politik Sabah.
Dengan pertandingan dijangka sengit di banyak kerusi, dominasinya calon daripada pakej keluarga ini akan menjadi salah satu penanda aras utama terhadap hala tuju politik negeri yang sudah lama bergelut dengan isu patronage dan pertukaran kerajaan yang kerap.

No comments
Post a Comment