Presidennya, Michel Alok, berkata watikah kepada semua calon telah diserahkan dan tiada sebarang pertukaran akan dibuat menjelang hari penamaan calon.
Dalam pengumuman itu, dua Timbalan Presiden PIS — Sauting Rabuyot dan Ng Chun Sua @ Kandrix Ng — turut diturunkan sebagai calon di Bandau dan Api-Api, manakala Michel sendiri akan bertanding di Telupid.
Menurutnya, komposisi calon PIS merangkumi sekitar 8% belia dan 8% wanita, dengan majoriti calon berusia lebih 40 tahun.
Dana kecil, keyakinan besar
Michel menegaskan PIS akan mematuhi perbelanjaan maksimum kempen yang ditetapkan SPR iaitu RM100,000 bagi setiap DUN, sambil mengakui parti itu bergantung pada sumbangan akar umbi bagi membiayai kempen.
“Setiap bahagian sedang mencari dana sendiri. PRN kali ini sangat penting untuk masa depan Sabah,” katanya.
Cabaran kepada PKR di Api-Api
Kandrix Ng, yang akan bertanding di kerusi bandar Api-Api, menyifatkan pencalonannya sebagai peluang untuk menawarkan “suara baharu” di kawasan yang sebelum ini dimenangi PKR.
“PKR parti besar, kewangan pun besar. Tapi bagi saya, perkhidmatan kepada rakyat lebih penting daripada billboard. Saya sudah turun padang, saya tahu apa yang orang mahu,” katanya.
Landskap PRN semakin bersesak
Pengumuman awal PIS ini menjadikan parti tersebut antara yang paling agresif memasuki PRN17, selepas Warisan mengumumkan hasrat bertanding di semua kerusi, sementara gabungan lain seperti GRS, PN dan BN dijangka mengumumkan senarai lengkap dalam masa terdekat.
Langkah PIS itu dijangka memecahkan lagi undi blok pembangkang tempatan, sekaligus menjadikan pertandingan di beberapa kerusi lebih terbuka dan sukar diramal.

No comments
Post a Comment