PENDAHULUAN
Sebenarnya saya berasa agak hairan apabila berlaku polemik yang panas berkaitan hipotesis Prof Dr Solehah Yaacob, Peradaban Rom mempelajari teknologi membuat kapal daripada Peradaban Melayu. Sebelum inipun, pernah timbul polemik yang hampir sama, apabila dua orang pengkaji dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menampilkan model kapal besar Melayu (Jong Melayu), yang didakwa sebenarnya kapal besar China oleh seorang sejarawan Perancis. Kehairanan saya itu disebabkan oleh satu persoalan, mengapa pihak-pihak itu "bergaduh"?
Setelah membuat sedikit pemerhatian, saya menyimpulkan pergaduhan itu timbul kerana generasi hari ini melihat perkongsian antara peradaban adalah situasi menang-kalah sebagaimana pertembungan peradaban pada era moden hari ini. Hari ini, Peradaban Barat yang dominan telah mengajar manusia, ada kelompok manusia yang "superior" dan ada pula yang "inferior". Neraca ini telah digunakan untuk melihat perkongsian peradaban di zaman silam, iaitu peradaban yang menjadi sumber ilmu sebagai superior dan yang menerimanya pula sebagai inferior.
PERKONGSIAN PERADABAN ADALAH POSITIF
Sesungguhnya kemajuan yang diperolehi oleh manusia pada hari ini adalah hasil daripada generasi zaman silam berkongsi peradaban mereka. Apa yang diwariskan kepada kita termasuklah berkaitan teknologi perkapalan yang menjadi polemik, adalah hasil perkongsian antara peradaban. Perkongsian itu bukan sekadar sesama peradaban sezaman tetapi juga diwariskan dari satu peradaban ke peradaban yang lain, yang berbeza zaman. Sekiranya generasi peradaban zaman silam tidak berkongsi atau menganggap berkongsi sebagai situasi menang-kalah, pencapaian generasi hari ini mungkin jauh ke belakang.
Lihat sahaja tentang perkongsian peradaban di dalam teknologi penghasilan kertas. Peradaban yang menjadi sumber teknologi penghasilan kertas adalah Peradaban China. Daripada Peradaban China ini, peradaban-peradaban yang lain berkongsi mempelajari sehingga diwarisi pula oleh Peradaban Islam. Kemudian masyarakat Eropah pula mempelajarinya daripada Peradaban Islam sehingga mereka membangunkan Peradaban Barat pada hari ini. Melalui perkongsian peradaban itulah masyarakat manusia memperolehi manfaat cukup besar dari segi pewarisan ilmu.
Peradaban Islam yang bermula dengan pengutusan Rasulullah SAW pada kurun ketujuh Masehi, menjadi peradaban yang mewarisi perkongsian ilmu dengan peradaban-peradaban sebelumnya. Para ilmuwan Islam mempelajari ilmu-ilmu daripada peradaban China, India, Farsi, Yunani, Rom dan lain-lain, sehingga menepati ciri-ciri sebagai "ummah wasatan" yang menjadi saksi kepada masyarakat manusia yang lain. Umat Islam juga diperintahkan supaya mempelajari daripada peradaban-peradaban yang lain seumpamanya ia adalah hikmah yang hilang.
Meskipun ada ilmuwan Barat menafikan Peradaban Barat yang terbina pada zaman moden ini terhutang budi kepada Peradaban Islam, hakikat sebenarnya adalah seperti itu. Peradaban Barat mewarisi ilmu-ilmu daripada Peradaban Islam, yang sebelumnya mewarisi ilmu-ilmu daripada peradaban-peradaban lain yang wujud sebelum kemunculan Peradaban Islam. Para ilmuwan Islam tidak diajar terasa hina bila mempelajari ilmu dari peradaban lain, dan tidak pula diajar menjadi sombong kerana mengajar ilmu kepada peradaban yang lain.
Jelas sekali, perkongsian peradaban bukanlah melahirkan bangsa terhina dan bangsa termulia dalam kalangan sesama masyarakat manusia. Sebaliknya perkongsian peradaban menjamin kelangsungan peradaban manusia terus mapan sehingga akhir zaman. Melalui perkongsian peradabanlah, kehidupan masyarakat manusia seluruhnya menjadi harmoni dan sejahtera. Sekiranya prinsip ini menjadi asas perbincangan tentang polemik yang sedang panas sekarang, adalah diyakini tidak perlulah ada pergaduhan di dalam menegakkan hujah masing-masing.
MALAYSIA PEWARIS EMPAT PERADABAN
Malaysia sebagai sebuah negara bangsa, sama ada disedari atau tidak sebenarnya adalah pewaris kepada empat peradaban silam, iaitu Peradaban Melayu, Peradaban Islam, Peradaban China dan Peradaban India. Sekiranya diambil kira budaya kaum pribumi yang hidup nomad, ia turut menjadi warisan yang kelima. Jika ditelusuri peradaban-peradaban silam yang diwarisi oleh bangsa Malaysia, peradaban-peradaban itu dahulunya saling berkongsi. Dengan pengertian lain, perkongsian peradaban generasi silam seharusnya menjadikan bangsa Malaysia mempunyai warisan peradaban yang kaya.
Perkongsian peradaban yang diwarisi oleh bangsa Malaysia sepatutnya menjadikan kaum-kaum yang ada saling hormat menghormati. Bagaimanapun, realiti yang berlaku adalah sebaliknya. Semasa isu Jong Melayu dan Kapal Besar China yang dipanaskan oleh sejarawan Perancis beberapa ketika dahulu, terdapat kelompok-kelompok dari kaum tertentu yang memperkecilkan kaum lain. Perkongsian peradaban dilihat sebagai situasi menang-kalah atau superiority-inferiority. Oleh yang demikian, bila timbul pula isu yang dibangkitkan oleh Dr Solehah, perkongsian peradaban itu juga dilihat sebagai negatif.
Antara peradaban-peradaban yang diwarisi oleh bangsa Malaysia, Peradaban Melayu yang paling banyak belum terungkap. Banyak faktor yang menyebabkan banyak lagi warisan Peradaban Melayu belum terungkap. Boleh jadi salah satu daripadanya berkaitan dengan faktor semulajadi seperti cuaca dan iklim. Kedudukan Kepulauan Melayu di garisan Khatulistiwa menjadikan kawasan ini panas dan lembab, yang menyebabkan proses pereputan monumen dan dokumen berlaku lebih cepat. Teori tentang tenggelamnya tanah daratan Sunda juga boleh dikaitkan dengan kehilangan bukti-bukti peradaban.
Faktor-faktor yang saya sebutkan mungkin tidak tepat kerana ia hanya bersifat sangkaan sahaja. Bagaimanapun yang jelasnya, Peradaban Melayu ini sememangnya wujud malah setanding dengan peradaban-peradaban yang lain termasuklah peradaban di luar benua Asia. Untuk mengungkapkan kembali Peradaban Melayu ini, proses penerokaannya pasti mencabar teori-teori peradaban silam yang sedia ada. Di sinilah pentingnya kita mendukung prinsip, perkongsian peradaban itu adalah positif, malah tidak dapat ditolak peradaban-peradaban saling berkongsi dan mewarisi satu sama lain.
Sekiranya berdasarkan teori pembentukan peradaban, Peradaban Melayu juga mungkin tertegak hampir sezaman dengan peradaban-peradaban purba yang lain. Sesuatu peradaban mula tertegak apabila sesuatu kelompok manusia hidup menetap. Bila ada penempatan, maka bermulalah interaksi dalaman dan interaksi luaran yang memajukan kehidupan kelompok manusia tersebut. Jika demikian asas tertegaknya sesuatu peradaban, maka rumpun Melayu atau Austronesia yang telah wujud ribuan tahun di tanah daratan Sunda tidak mungkin tidak membina penempatan. Bila sudah ada penempatan, pastilah tunas peradaban bermula.
FALSAFAH SEJARAH DAN SEJARAH
Satu lagi sebab yang saya lihat menjadi punca pergaduhan sekitar isu ini ialah bila kita tidak boleh membezakan antara Falsafah Sejarah dan Sejarah. Perbandingan antara Falsafah Sejarah dan Sejarah samalah seperti antara Falsafah Sains dan Sains. Falsafah Sains menjawab persoalan-persoalan besar atau fundemental tentang alam tabi'i, seperti adakah benar hukum alam tabi'i ini wujud? Jawapan kepada persoalan ini tidak diperolehi daripada kajian makmal, tetapi diperolehi melalui perbahasan dan penaakulan falsafah. Manakala Sains adalah menjawab persoalan-persoalan kecil tentang alam tabi'i yang lazimnya diperolehi daripada kajian makmal.
Kedua-dua Falsafah Sains dan Sains menyokong antara satu sama lain. Falsafah Sains menjadi landasan kepada kajian-kajian Sains di makmal dijalankan. Sains yang diperolehi melalui kajian makmal pula memperkukuhkan paradigma yang dilandaskan oleh Falsafah Sains. Bila penemuan kajian-kajian Sains tidak konsisten dengan paradigma yang menjadi landasan, berlakulah abnormaliti. Ketika berlaku abnormaliti inilah filsuf-filsuf dalam Falsafah Sains berbahas mencetuskan paradigma baru. Peralihan daripada satu paradigma kepada paradigma yang lain disebut oleh Thomas Kuhn sebagai Revolusi Sains.
Saya mengkategorikan pandangan yang dikemukakan oleh Dr Solehah dan beberapa yang lain seperti Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin sebagai Falsafah Sejarah. Apabila mereka menyimpulkan teknologi maritim manusia bermula dan berasal selepas banjir besar Nabi Nuh AS, ia adalah jawapan kepada persoalan besar. Saya yakin paradigma sejarah ini tidak menjadi landasan pengkaji-pengkaji Sejarah Barat masa kini tentang teknologi maritim. Demikian juga beberapa kesimpulan awal yang lain, seperti asal usul teknologi maritim laut luas adalah daripada rumpun Melayu atau Austronesia, yang merupakan sebuah peradaban kelautan bukan kebenuaan. Pada pandangan saya, ia adalah Falsafah Sejarah.
Persoalan-persoalan Falsafah Sejarah seperti ini, sekurang-kurangnya buat masa ini, jawapannya bukan diperolehi melalui makmal-makmal Sejarah. Bukti-bukti yang digunakan untuk menjawab persoalan-persoalan besar ini bukan datangnya dari monumen dan dokumen yang lazimnya digunakan oleh Sejarawan Barat dalam menjawab persoalan Sejarah. Dakwaan yang teknologi maritim manusia bermula dan berasal selepas banjir besar Nabi Nuh AS adalah suatu dakwaan yang berkaitan dengan rukun agama. Kewujudan Nabi Nuh AS itu sendiri, tiada monumen dan dokumen yang boleh diterima sebagai bukti oleh Sejarah Barat. Lalu bagaimana?
Mencampur-adukkan wacana Falsafah Sejarah dan wacana Sejarah sememangnya boleh menimbulkan kebingungan. Bilamana Dr Solehah menyebut bukti-bukti beliau daripada kitab-kitab ulama klasik termasuk yang berkaitan dengan tafsir al-Quran, saya sudah mengkatogerikannya sebagai wacana Falsafah Sejarah. Bila ramai pula yang memberi maklumbalas dengan pendekatan wacana Sejarah, maka tidaklah hairan titik pertemuan sukar ditemui. Oleh sebab itu, polemik yang timbul ini sangat bercampur aduk tanpa mempunyai garis pemisah, bukan hanya antara Falsafah Sejarah dan Sejarah, tetapi juga antara tradisi Islam dan tradisi Barat.
KESIMPULAN
Boleh disimpulkan, polemik yang timbul di sekitar isu teknologi maritim Peradaban Melayu dan Peradaban Rom ini melangkaui disiplin ilmu Sejarah. Ia juga melibatkan satu lagi disiplin ilmu yang lebih luas skopnya iaitu ilmu Peradaban. Disiplin ilmu Peradaban ini masih kurang diterokai di negara kita. Ia juga melibatkan disiplin ilmu Falsafah, atau secara lebih khususnya Falsafah Sejarah. Sebagaimana juga disiplin ilmu Peradaban, disiplin ilmu Falsafah juga kurang mendapat tempat dalam sistem pendidikan di negara kita hari ini. Boleh jadi ramai yang melihatnya tidak penting kerana ditanggapi sifar nilai komersialnya.
Bagaimanapun, kita boleh berbangga masyarakat kita sudah berani berbahas dan berpolemik. Tinggal lagi, perbahasan yang tidak dibajai dengan etika perbahasan boleh menatijahkan pergaduhan bukannya satu proses komunikasi ilmiah. Perbahasan yang bercampur aduk tanpa ada garis sempadan antara satu disiplin dengan disiplin lain, atau garis pemisah antara satu tradisi dengan tradisi, juga boleh menambahkan kebingungan. Semoga budaya perbahasan ilmu ini terus subur dalam mesyarakat kita, kerana ia adalah satu proses membina peradaban.

No comments
Post a Comment