BANGI, 21 JAMADILAWAL – Mana-mana pihak yang memperlekeh dan merendahkan martabat bahasa Melayu hakikatnya bersikap seperti kaduk naik junjung yang lupa asal-usul dan tidak mengenang tanah tempat berpijak, tegas Presiden IDENTITI, Islah Wahyudi Zainudin.
Beliau berkata, bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang jati diri, peradaban dan kesetiaan terhadap negara bangsa Malaysia.
“Orang yang memperlekeh bahasa Melayu dengan alasan kononnya tidak bernilai atau sekadar bahasa kelas bawahan, mereka ini ada dua jenis – sama ada sangat jahil atau sangat jahat,” katanya.
Menurut Islah, tindakan sesetengah pihak yang gemar menggunakan bahasa asing dan melacurkan bahasa kebangsaan kononnya atas nama kemodenan hanya mendedahkan betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap sejarah pembinaan tamadun.
“Bahasa apa pun boleh dipelajari. Tiada salahnya menguasai banyak bahasa. Tetapi orang yang benar-benar bijak akan tahu, bahasa ialah asas kepada pemikiran dan pembentukan bangsa,” tegasnya.
Katanya, semua bahasa yang hidup pasti menyerap perkataan daripada bahasa lain, dan itu bukan tanda kelemahan, tetapi kekuatan serta keanjalan sesuatu bahasa.
“Bahasa Inggeris sendiri paling banyak meminjam perkataan daripada bahasa asing. Bahkan nama bahasa Mandarin itu sendiri diserap daripada istilah bahasa Melayu ; ‘menteri’ kerana orang Melayu merujuk bahasa istana China itu sebagai bahasa menteri. Istilah menteri pula diserap daripada bahasa Sanskrit ke bahasa Melayu sejak ribu tahun dulu.
“Jadi, sesiapa yang memperlekeh bahasa Melayu dengan alasan ia banyak serapan sebenarnya menunjukkan kebodohan sendiri,” ujarnya.
Islah menjelaskan, kedudukan sesuatu bahasa dalam sejarah dunia sentiasa berubah mengikut siapa kuasa utama dunia pada sesuatu zaman.
“Dahulu Sepanyol dan Perancis menjadi bahasa utama dunia sebelum digantikan oleh Inggeris. Apabila kuasa dunia berubah, bahasa utama pun berubah. Tiada kuasa yang kekal selamanya,” katanya.
Beliau menegaskan, apabila sesuatu kuasa dunia jatuh, bangsa yang masih utuh hanyalah bangsa yang berpegang kepada akar identiti sendiri termasuk bahasanya.
“Kalau esok Amerika jatuh dan bahasa Rusia pula menguasai dunia, kita masih ada apa untuk dipegang kalau bahasa sendiri pun ditinggalkan?,” soalnya.
Presiden Identiti itu turut mengingatkan bahawa bahasa kebangsaan bukan sekadar alat rasmi, tetapi lambang kesetiaan kepada negara dan Perlembagaan Persekutuan.
“Taat setia kepada negara bukan sekadar pada kad pengenalan, tetapi pada penghormatan terhadap identiti negara itu sendiri.
“Mereka yang sudah diberi kewarganegaraan tetapi masih memperlekeh bahasa negara ini, hakikatnya sedang mengkhianati semangat Perlembagaan,” katanya.
Islah menyeru agar seluruh rakyat Malaysia menghentikan sikap memandang rendah kepada bahasa kebangsaan dan kembali menghormati akar sejarah tanah ini.
“Tidak ada satu pun istilah Cina, India, Tamil, Myanmar atau Bangladesh disebut dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Identiti Malaysia berteraskan sejarah dan asal-usul bangsa yang membentuk negara ini, iaitu Melayu, Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak.
“Maka sesiapa yang tidak setia kepada asas ini, mereka sebenarnya sedang menanam racun pengkhianatan terhadap negara sendiri,” katanya.
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment