BANGI, 21 JAMADILAWAL – Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan lebih awal dan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan tekanan ekonomi dan politik yang dihadapi kerajaan hari ini.
Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, naratif mengenai PRU16 dan PRN serentak semakin kuat dimainkan oleh media, manakala parti-parti dalam kerajaan seperti DAP dan PAN turut mula mengeluarkan kenyataan yang senada.
“Sejak Julai 2025, saya telah menjangka kemungkinan yang serupa,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara faktor utama yang menjurus kepada kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal ialah aliran tunai kerajaan yang semakin bermasalah dan hutang negara yang terus meningkat sehingga menekan kedudukan fiskal serta kemampuan kerajaan menampung subsidi dan perbelanjaan rakyat.
Tambahan pula, kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi turut meningkatkan keresahan dan kemarahan awam.
Beliau turut menegaskan bahawa kesan tarif timbal balas Amerika Syarikat serta komitmen pelaburan Malaysia ke negara itu dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi negara menjelang tahun 2027, sekali gus menambah tekanan terhadap Perdana Menteri ke-10 (PM10) dan kerajaan PH–BN.
“Tekanan besar terhadap kerajaan hari ini bukan hanya bersifat politik, tetapi juga berpunca daripada kemarahan rakyat terhadap pelbagai isu ekonomi dan sosial.
“Negara kini berdepan dengan krisis ekonomi, kewangan, hutang, dan kos sara hidup yang tinggi, di samping kemerosotan kesejahteraan sosial yang ditandai dengan peningkatan kes bunuh diri, jenayah, dan masalah mental.
“Rakyat juga semakin kehilangan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan, undang-undang dan kehakiman,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau menambah, kemarahan rakyat semakin bertambah selepas kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta termeterainya Perjanjian Timbal Balas Perdagangan antara Amerika Syarikat dan Malaysia yang dilihat berat sebelah serta boleh mengancam kedaulatan dan kebebasan ekonomi negara.
Selain itu, Tun Faisal menekankan bahawa perpecahan dalaman dalam gabungan PH–BN semakin ketara.
Pertelingkahan antara UMNO, MCA dan MIC dengan DAP semakin meruncing, manakala di Sabah, kerjasama antara UMNO, GRS dan PH terus gagal mencapai persefahaman politik yang kukuh.
“Terbaru, UPKO juga dilaporkan meninggalkan Pakatan Harapan, menambah tekanan terhadap kestabilan gabungan pemerintah. Selain itu, kegagalan mengisi jawatan-jawatan Menteri yang dikosongkan sejak bulan Jun dan Julai turut membayangkan tekanan di dalam gabungan parti pemerintah,” katanya.
Dengan mengambil kira semua faktor ini, beliau meramalkan kerajaan PH–BN mungkin cuba mengadakan PRU16 lebih awal, sekitar tahun 2026, bagi “’mencuri’ mandat rakyat sebelum kesan ekonomi yang lebih berat dirasai pada tahun 2027.”
Sumber | TV Pertiwi
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment