NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kecuaian berulang: Pakar mahu kontraktor ingkar dikenakan tindakan jenayah, lesen dibatalkan



  • Profesor Madya Dr Law Teik Hua daripada UPM, berkata masalah di tapak projek pembinaan sering berpunca daripada gabungan faktor termasuk penggunaan bahan binaan tidak memenuhi piawaian, rekabentuk struktur tidak mencukupi, penyeliaan tapak yang lemah, penjimatan kos yang selari dengan aspek keselamatan. 
  • Beliau juga mencadangkan kontraktor yang gagal mematuhi peraturan dan mengakibatkan kemalangan, hukuman setimpal perlu dilaksanakan tanpa kompromi.
  • “Ia termasuk penarikan balik lesen operasi secara kekal, dikenakan denda yang berkadar dengan nilai projek, contohnya 10-20 peratus nilai projek, dan tindakan jenayah di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat).

KUALA LUMPUR – Budaya keselamatan dalam industri pembinaan kita masih bersifat reaktif yang hanya bertindak setelah berlakunya tragedi, manakala tekanan untuk memenuhi kos dan jadual sering mengakibatkan pengabaian aspek keselamatan.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua, berkata insiden runtuhan binaan yang berlaku baru-baru ini, termasuk kemalangan membabitkan jentera skylift, mencerminkan kegagalan sistemik yang memerlukan reformasi menyeluruh.

Kejadian sedemikian katanya, jelas menunjukkan kemungkinan wujudnya kelemahan kritikal dalam pematuhan piawaian keselamatan industri pembinaan di Malaysia.

“Masalah ini sering berpunca daripada gabungan faktor termasuk penggunaan bahan binaan yang tidak memenuhi piawaian, rekabentuk struktur yang tidak mencukupi, penyeliaan tapak yang lemah, dan budaya yang mengutamakan jadual pelaksanaan serta penjimatan kos berbanding aspek keselamatan asas.

“Natijah daripada kelalaian ini mewujudkan persekitaran berbahaya bukan sahaja untuk pekerja pembinaan, malah kepada orang awam yang berada di sekitarnya,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times.

Menurut Teik Hua, kontraktor perlu melaksanakan langkah langkah proaktif yang lebih komprehensif termasuk pemasangan Peralatan Perlindungan Diri (PPD) seperti sistem jaring keselamatan dan perancah yang diperakui serta berkualiti tinggi.

“Penggunaan teknologi moden seperti sensor IoT (Internet of Things) untuk memantau pergerakan struktur dan tahap getaran secara masa nyata juga wajar diwajibkan.

“Audit keselamatan berkala oleh pegawai keselamatan binaan berdaftar, pelaksanaan Prosedur Kerja Selamat (PKS) yang spesifik untuk setiap peringkat pembinaan, dan sistem permit kerja untuk tugas berisiko tinggi merupakan mekanisme penting yang perlu diperkukuh dan dipantau dengan teliti,” tegasnya.

Beliau menambah, kerajaan digesa memperkukuh penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA) secara lebih tegas dan konsisten bagi memastikan keselamatan di tapak binaan terjamin dan kejadian tragis seperti runtuhan binaan dapat dielakkan.

“Langkah seperti mewajibkan bon penjamin yang mencukupi, meningkatkan kekerapan pemeriksaan mengejut di tapak bina, dan memperkenalkan sistem penarafan bintang berdasarkan rekod keselamatan kontraktor boleh memberi insentif untuk amalan terbaik.

“Selain itu, mewajibkan insurans liabiliti profesional untuk semua kontraktor akan memastikan pertanggungjawaban kewangan sekiranya berlakunya sebarang kelalaian,” jelasnya.

Teik Hua mencadangkan bagi kontraktor yang gagal mematuhi peraturan dan mengakibatkan kemalangan, hukuman setimpal perlu dilaksanakan tanpa kompromi.

“Ia termasuk penarikan balik lesen operasi secara kekal, dikenakan denda yang berkadar dengan nilai projek, contohnya 10-20 peratus nilai projek, dan tindakan jenayah di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan (membunuh tanpa niat).

“Pengarah syarikat tersebut juga patut didiskualifikasi daripada mengendalikan mana-mana syarikat pembinaan di masa hadapan, serta diwajibkan untuk melaksanakan program pemulihan keselamatan dengan kos sendiri,” katanya. – The Merdeka Times


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo