Rasulullah SAW turun ke medan perang dengan mengenakan dua lapis baju besi di tubuhnya, melindungi kepala dengan topi besi, serta menggenggam tombak dan pedang. Baginda mengajar umatnya bahawa tawakal bukan bererti meninggalkan usaha.
Suatu hari, seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW. Dia menaiki seekor unta dan meninggalkannya begitu sahaja di luar tanpa diikat. Ketika berbicara dengan baginda, lelaki itu berkata bahawa dia menyerahkan segalanya kepada Allah, tanda tawakalnya. Maka Rasulullah SAW menegurnya dengan lembut, “Ikatlah dahulu untamu, kemudian bertawakal kepada Allah.”
Islam mengajar bahawa tawakal bukan bererti menyerah tanpa usaha. Ia bermula dengan ikhtiar. Kita berusaha dahulu, kemudian berserah kepada Allah. Seperti orang yang memiliki motosikal, jangan dibiarkan tanpa dikunci lalu berkata, “Aku bertawakal.” Itu bukan tawakal, itu cuai. Islam tidak mengajar cuai. Sakit, maka berubatlah. Lapar, maka makanlah. Dahaga, maka minumlah. Hidup, maka bekerjalah. Jangan bergantung hidup dengan meminta-minta, mengharap belas ehsan manusia. Islam mengangkat maruah dengan usaha.
Tawakal itu gabungan dua kekuatan. Kekuatan usaha dan kekuatan hati yang menyerah kepada Tuhan setelah usaha dilakukan. Sebab itu ulama mengingatkan, bergantunglah kepada manusia hanya dalam perkara yang dalam kemampuan manusia. Jika kenderaan kita rosak di tengah lebuh raya, hubungilah bantuan seperti talian kecemasan lebuh raya atau perkhidmatan tunda.
Masih ada yang silap memahami erti tawakal. Bila ditimpa sakit atau susah, bukan berubat atau berdoa, tetapi pergi ke kubur atau pusu, membawa pulut kuning dan ayam percik dengan harapan makhluk halus membantu. Jin bukan makan nasi atau ayam seperti manusia. Jika makanan itu hilang sekali dengan tulang, yang mengambilnya bukan jin, tetapi manusia. Pertolongan yang sebenar hanyalah daripada Allah. Maka kembalilah kepada-Nya dengan doa dan usaha, bukan dengan memuja makhluk yang tidak berdaya.
Inilah pentingnya kita memahami akidah dengan betul. Segala pergantungan hendaklah kepada Allah semata-mata. Rasulullah SAW mengingatkan, “Apabila engkau meminta, mintalah kepada Allah. Apabila engkau memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.” Ketika sakit, berusahalah dengan ubat, tetapi jangan lupa berdoa. Doa juga sebahagian daripada usaha.
Rasulullah SAW mengajar agar kita menunaikan solat hajat. Doa dari hati sendiri lebih ikhlas dan lebih dekat. Jika badan kita gatal, dan orang lain yang tolong garukan, tentu tidak puas. Hanya kita yang tahu di mana tempat yang paling terasa. Begitu juga dengan doa. Doa yang keluar dari hati kita sendiri jauh lebih tersentuh berbanding doa yang orang lain bacakan.
Sebab itu para ulama dahulu, termasuk sahabat dan tabi‘in, tidak pernah menjadikan solat hajat berjemaah sebagai kebiasaan. Jika ada pun, tidak menjadi kesalahan, tetapi bukanlah satu tuntutan. Yang penting ialah keikhlasan hati ketika bersujud dan memohon.
Sebahagian orang alim apabila berdoa, tidak mengangkat suara. Hanya tangan terangkat, mata tertutup dan bibir terdiam, namun hati mereka sedang berbicara. Allah mengetahui setiap pandangan mata yang tersembunyi dan setiap rahsia yang tersimpan di dalam dada. Tiada yang terlindung daripada-Nya. Maka cukuplah isi hati hamba-Nya yang ikhlas dan berharap.
Begitulah indahnya agama ini. Bila hati kita benar-benar bergantung kepada Allah, di situlah datangnya kekuatan iman dan ketenangan jiwa. Minta yang baik, maka Allah akan beri yang baik.
#BaktiDisemai #TegasBerwibawa
Sumber | FB Dato Nik Amar
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment