Menurut Fadhli, soalan beliau pada sesi Dewan Rakyat pagi tadi berkisar mengenai halangan perjanjian ART terhadap sasaran kerajaan menjadikan Malaysia sebagai AI Nation 2030, namun jawapan yang diterima hanya berbentuk penafian umum tanpa huraian konkrit.
“Menteri hanya berulang kali menyebut ‘bacalah artikel itu... kerajaan tidak akan gadai kedaulatan negara’, tanpa menjawab secara substantif persoalan yang saya bangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tujuh sebab ART didakwa jejaskan kedaulatan digital
Fadhli kemudian memperincikan tujuh perkara utama yang menurutnya membuktikan ART menggugat dasar digital dan ekonomi negara, antaranya:
- Larangan cukai digital, di mana Artikel 3.1 menyebut Malaysia tidak boleh mengenakan cukai ke atas syarikat digital asing seperti Google, Meta atau Netflix, sekali gus menjejaskan potensi hasil kerajaan.
- Pemindahan data rentas sempadan, di mana istilah “trusted borders” ditentukan oleh AS dan bukan Malaysia, menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data rakyat.
- Sekatan dasar luar digital, apabila Malaysia diwajibkan berunding dengan AS sebelum memeterai perjanjian digital dengan negara lain.
- Pemansuhan levi enam peratus terhadap syarikat digital asing, menutup ruang pembiayaan untuk pembangunan teknologi tempatan.
- Pembatalan kawalan DNS tempatan, yang dilihat boleh melemahkan keselamatan siber nasional.
- Larangan penggunaan pembekal bukan Barat, yang berpotensi mengehadkan penyertaan syarikat seperti Huawei dalam sektor 5G dan AI Malaysia.
- Pematuhan kawalan eksport AS, yang menyebabkan Malaysia perlu tunduk kepada sekatan teknologi unilateral Washington.
“Kesannya, Malaysia bukan sahaja kehilangan keupayaan mengenakan cukai dan melindungi data rakyat, malah terpaksa merujuk kepada AS dalam menentukan pembekal serta rakan teknologi,” kata Fadhli.
Perbandingan dengan ART Kemboja
Fadhli turut membandingkan perjanjian yang sama ditandatangani oleh Kemboja dan AS, yang menurutnya memberikan lebih banyak ruang perlindungan kepada kedaulatan negara itu.
Antaranya termasuk klausa yang membolehkan Kemboja mengecualikan mana-mana obligasi jika menjejaskan keselamatan negara, serta kebebasan untuk menilai kes demi kes dalam pematuhan sekatan eksport AS.
“Malaysia tidak diberi ruang fleksibiliti seperti Kemboja. ART versi Malaysia jauh lebih keras dan tidak mengandungi sebarang ‘sovereignty exception clause’,” ujarnya.
Minta penjelasan bertulis
Beliau menegaskan, Menteri Digital perlu memberikan jawapan bertulis yang lengkap dan telus, bukan sekadar mengulang kenyataan umum tanpa menyentuh isi perjanjian.
“Saya tidak menuduh secara semberono. Segala hujah ini berdasarkan teks ART sendiri. Jika Menteri yakin tiada isu, jawab secara terperinci dan hitam putih,” katanya lagi.
Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat sebelum ini antara suara lantang yang mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan ART, dengan alasan perjanjian itu boleh menjejaskan usaha Malaysia membina ekosistem AI tempatan dan kedaulatan digital nasional.
- 1Media.my

No comments
Post a Comment