NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN Terbubar Hujung Tahun Ini?

Oleh : Dr Zuhdi Marsuki

Ketika jentera BN sedang berhempas pulas di Sabah, sekonyong-konyong terbit berita MIC telah memutuskan untuk keluar dari parti gabungan tersebut. Sebagaimana yang dilaporkan oleh media cetak dan media elektronik, Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 sebulat suara memutuskan parti itu keluar daripada BN. Keputusan itu dibuat selepas usul keluar daripada BN dibentang oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Keputusan yang kontroversi itu telah mengundang reaksi berwarna-warni pelbagai pihak. Pemimpin-pemimpin UMNO seperti Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh memandang sinis keputusan yang dibuat oleh AGM MIC tersebut. Manakala seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, pula mendakwa masalah MIC adalah disebabkan seorang dua pemimpinnya yang tidak mendapat jawatan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, selepas AGM MIC sebulat suara memutuskan untuk keluar daripada BN, keputusan tersebut ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC memuktamadkan sama ada keluar atau tidak. Dikatakan CWC akan mempertimbangkan secara menyeluruh keputusan tersebut, kerana ia berkait langsung dengan masa depan MIC khususnya dalam menghadapi PRU ke-16 tidak lama lagi.

Diyakini penangguhan keputusan tersebut berkaitan dengan khabar-khabar angin akan berlaku rombakan kabinet dalam tempoh terdekat. MIC sudah tentu berharap ada wakil mereka di dalam kabinet Dato Seri Anwar Ibrahim, sebagai mewakili kaum India di negara ini. Kabinet yang ada sekarang tidak mempunyai seorangpun wakil kaum India. Sekiranya wakil MIC diberi tempat di dalam kabinet, kemungkinan MIC akan terus kekal di dalam BN.

Selain daripada MIC, sebuah lagi parti komponen BN, MCA, dilaporkan turut mengkaji kedudukan mereka dalam parti gabungan tersebut. Menurut laporan The Strait Times, Presiden MCA memberitahu keputusan untuk kekal atau keluar daripada BN akan dibuat berdasarkan kehendak pemimpin-pemimpin bahagian MCA yang dijangka berakhir hujung tahun ini. Berbanding dengan MIC, MCA sebenarnya lebih lantang dan kritis terhadap UMNO.

Lebih daripada itu, MCA bukan hanya lantang terhadap UMNO, tetapi juga terhadap kerajaan campuran PH-BN. Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, antara ahli parlimen pihak kerajaan yang lantang mengkritik dasar dan amalan yang diputuskan oleh kerajaan. Kedudukan MCA di dalam kerajaan campuran PH-BN tidak seperti sebuah parti komponen, meskipun pada masa yang sama MCA tidak pula berada di blok pembangkang.

Sebuah lagi parti komponen BN ialah PBRS yang juga sukar ditelaah pendiriannya sekarang. Sejurus selepas PRU-14, pada 11 Mei 2018 PBRS telah mengumumkan keluar dari BN, tetapi dinafikan dua hari kemudian. PBRS juga pernah menyertai GRS pada tahun 2021, tetapi digugurkan daripada GRS selepas PRU-15 tahun 2022. Jelas sekali, kesetiaan PBRS terhadap BN sangat kabur, kemungkinan untuk mereka meninggalkan BN adalah besar.

Selepas PRN Sabah pada 29 November ini, halatuju PBRS akan lebih jelas. Jika BN gagal sekali menjadi Kerajaan Sabah, PBRS dijangka tidak perlu lagi bergantung kepada BN. Sekiranya PBRS keluar dari BN, peluang mereka lebih terbuka sama ada bergabung dengan PH atau WARISAN, atau kembali semula bersama GRS. Dengan pendirian PBRS yang berbolak-balik terhadap BN ini, kedudukan mereka seperti "melukut di tepi gantang".

Sekiranya itulah kedudukan dan komitmen MIC, MCA dan PBRS terhadap BN, bolehkan BN bertahan sehingga PRU-16 nanti? Pemimpin-pemimpin UMNO pula langsung tidak menunjukkan kebimbangan bila usul akar-umbi MIC dan MCA untuk keuar BN. Malah, terdapat pemimpin-pemimpin UMNO mencabar parti-parti komponen BN berbuat demikian. Sebagai sebuah parti gabungan, BN tidak lagi wujud jika yang tinggal hanya UMNO sahaja.

Dengan terbubarnya BN apabila parti-parti komponen meninggalkannya, senario politik Malaysia menjelang PRU-16 akan ada perubahan besar. UMNO mungkin akan bertanding menggunakan lambang mereka sendiri atau menumpang logo PH. Yang paling ketara, akan tinggal dua gerombolan besar iaitu PN dan sekutu-sekutunya, serta PH dan sekutu-sekutunya. Dengan adanya dua gerombolan besar itu, persaingan jadi makin sengit.

Sumber : FB Dr Zuhdi

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo