- Bendahari Pemuda PAS Selangor, Muhammad Farique Zubir Albakri berkata negeri itu merekodkan inflasi 1.8 peratus, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan, dengan harga makanan, minyak masak, sayuran serta ikan terus melonjak.
- “Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup,” katanya
- Beliau turut menjelaskan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat turut mendorong kepada peningkatan masalah kesihatan mental.
KUALA LUMPUR – Ketika rakyat Selangor berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit, Belanjawan Selangor 2026 didakwa gagal menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu rakyat, termasuk harga barang yang terus meningkat dan pendapatan yang tidak sepadan.
Bendahari Pemuda PAS Selangor, Muhammad Farique Zubir Albakri berkata negeri itu merekodkan inflasi 1.8 peratus, lebih tinggi berbanding purata kebangsaan, dengan harga makanan, minyak masak, sayuran serta ikan yang terus melonjak.
Beliau turut menegaskan bahawa sesetengah kategori barangan mengalami kenaikan hampir 50 peratus.
“Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kadar lima hingga 10 peratus pula terus memburukkan harga barangan bukan keperluan asas.
“Ironinya, Kerajaan Selangor tidak membentangkan sebarang pelan konkrit untuk menurunkan harga atau meningkatkan kemampuan rakyat menghadapi lonjakan kos sara hidup,” katanya dalam satu hantarandi Facebook.
Menurut Muhammad Farique, gaji median RM2,900 jauh tertinggal berbanding kos sara hidup sebenar yang dianggarkan RM5,854 untuk kehidupan selesa di Selangor.
“Selangor juga menjadi negeri tertinggi bilangan rakyat yang gagal membayar bil elektrik, menandakan isi rumah berada dalam tekanan kewangan yang kritikal.
“Pendapatan sebenar rakyat merosot hampir RM3,000 akibat inflasi, kuasa beli jatuh, dan kemiskinan bandar semakin meningkat,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat didakwa bukan sahaja menjejaskan kewangan rakyat Selangor, tetapi turut mendorong kepada peningkatan masalah kesihatan mental.
Namun, Belanjawan Selangor 2026 dikritik kerana tidak menawarkan langkah pemulihan menyeluruh bagi menangani punca sebenar isu tersebut.
Dalam isu hutang pula, beliau berkata hutang isi rumah negara kini mencecah RM1.65 trilion, peningkatan penggunaan kaedah Buy Now Pay Later (BNPL) sebanyak 31 peratus dan penggunaan Akaun 3 KWSP untuk membayar hutang bulanan menunjukkan rakyat semakin terdesak.
Beliau juga mengkritik prestasi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang didakwa menyimpang daripada mandat asal membina rumah mampu milik.
“Rumah Selangorku masih tidak mencukupi untuk B40 dan belia, projek rumah mampu milik terus tertangguh, malah ada yang diserahkan kepada pemaju swasta tanpa kawalan harga.
“Bukannya membina rumah kos rendah di kawasan seperti Paya Jaras dan Saujana Utama, PKNS lebih rancak membina rumah mewah serta mencadangkan projek padang golf di atas tanah industri yang boleh menempatkan sehingga 20,000 unit rumah mampu milik.
“Komitmen PKNS hanya 10,000 unit menjelang 2030 berbanding sasaran negeri 200,000 adalah bukti kelemahan luar biasa. Tambahan pula, tindakan menjual hak pembangunan PJ Sentral pada nilai rendah hanya menambah keraguan terhadap integriti pengurusan,” katanya.
Tambah beliau, turut disentuh ialah isu tadbir urus, termasuk kontroversi konsesi tempat letak kereta Selmax, kelewatan projek SACC Mall dan Aneka Walk, selain permohonan penyewa berkaitan diskaun sewa yang didakwa tidak diurus dengan baik.
Dalam sektor pendidikan Islam, Muhammad Farique mempersoalkan tindakan pengetatan syarat pendaftaran oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyebabkan lebih 20 sekolah swasta Islam dilaporkan ditutup, sekali gus menjejaskan ratusan pelajar.
“Tindakan penutupan ini bukan sahaja menjejaskan akses pendidikan Islam rakyat Selangor, tetapi juga mencerminkan kegagalan Kerajaan Selangor memastikan ekosistem pendidikan Islam berjalan dengan tertib, tersusun dan mesra masyarakat,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Belanjawan Selangor 2026 sekadar dihiasi retorik tanpa penyelesaian asas terhadap masalah rakyat.
“Selagi Kerajaan Selangor enggan mengakui dan menangani isu sebenar seperti harga barang, pendapatan, perumahan dan tadbir urus, Selangor tidak akan pernah mencapai status ‘Juara’ yang dibanggakan oleh Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari),” tegasnya. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment