Isu melarang hidangan arak atas pesawat Penerbangan Malaysia (sektor antarabangsa) dibangkitkan kembali lanjutan pembentangan Bajet 2026 oleh PM yang juga Menteri Kewangan baru-baru ini. Dalam bajet berkenaan kerajaan cadangkan agar duti eksais ke atas minuman beralkohol dinaikkan 10% dan antara justifikasinya adalah untuk membentuk tabiat hidup sihat dikalangan rakyat.
Semiua tahu bahawa minuman ini jika diambil berlebihan boleh mendatangkan mabuk, dan banyak insiden kacau ganggu berpunca dari mereka yang mabuk sehingga bukan hanya mencetuskan kecederaan dan kerosakan hartabenda malah adakalanya membawa maut dilaporkan.
Jika kita serius mahu membentuk tabiat hidup sihat, penerbangan Malaysia yang menghidangkan arak di sektor antarabangsa secara PERCUMA kepada penumpangnya atas permintaan wajarlah dihentikan.
Tindakan itu pasti akan memelihara nama baik negara yang meletakan Islam sebagai Agama Persekutuan, selain menghormati kakitangan kabin (ada seorang MP mendakwa menerima rungutan dari kakitangan kabin yang tidak berpuas hati atas hidangan arak ini dalam penerbangan) dan penumpang yang beragama Islam dan paling utama mencegah dari sebarang kemungkinan insiden yang tidak dingini tercetus kesan dari penumpang yang mabuk.
Sejak isu ini dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen pembangkang khasnya dari PAS, banyak komen dan sokongan diterima di media sosial, rata-rata rakyat Malaysia khasnya yang beragama Islam bersetuju, tiba masanya kita serius dalam hal ini. Tidak dinafikan ada juga yang tidak bersetuju, dan suara bantahan ini dibawa oleh ahli-ahli Parlimen kerajaan dari DAP yang bermatian mahu menjadi juara mereka.
Mereka menganggap larangan ini jika dilaksanakan akan menghalang pelancong menaiki pesawat penerbangan kita dan berkunjung ke negara. Ada MP DAP mendakwa mengapa negara Arab dan Islam lain tidak melarang. Dan ada juga mendakwa ia hak penumpang bukan Islam, mengapa mahu disekat.
Terbaru suara bantahan ini diangkat pula oleh seorang penulis yang memang dikenali tidak pernah ada ruang kebaikan sekelumit pun buat PAS dalam benak fikirannya. Beliau adalah Pengerusi Agensi Berita Nasional atau BERNAMA iaitu Wong Chun Wai yang juga bekas penasihat akhbar The Star.
Dalam kolum beliau di akhbar The Sunday Star semalam beliau mengkritik suara yang dibawa ahli-ahli Parlimen PAS dalam isu ini dengan menganggap MP PAS semuanya ketandusan idea, hanya obses pada isu-isu berkitan arak, kod pakaian dan konsert. Tiada langsung hormatnya pada parti Melayu Islam yang mewakili suara umat Melayu Islam dengan menguasai 43 kerusi Parlimen iaitu blok terbesar di Parlimen. Ternyata mendahului DAP kritiknya.
Terapi PAS pun tidak laparkan pujian dari individu seperti Wong, yang bersorak dan menyokong kerajaan ikut musim. Semasa BN berkuasa, BN dan pimpinannya semua dijulangnya, suci belaka. Tetapi bila jatuh BN naik pula kerajaan Madani ini, PM 10 dan kuncunya pula dijulang, apalah nak diharap pada penulis cari makan seperti ini.
Apa pun hujah-hujah yang dikemukakan oleh MP-MP PAS di Parlimen berkenaan isu ini sesungguhnya mewakili suara dan hasrat umat Melayu Islam dan rakyat Malaysia, tidak kiralah samada Wong atau DAP bersetuju.
Beliau dalam artikelnya menyambung lidah DAP apabila menyenaraikan syarikat penerbangan negara Arab dan Islam yang menghidangkan arak atas penerbangan, tapi beliau bijak tidak pula sentuh dua syarikat penerbangan yang melarang. Yang disentuh pesawat Afghanistan, Iran, Iraq, Kuwait yang dakwanya tiada popular pun jika mahu dibanding Penerbangan Malaysia.
Mengapa tidak sentuh syarikat Saudi Arabia iaitu Saudia Airlines? Takut menyinggung hubungan baik Malaysia Saudi? Wong tak sebut walau Saudia tidak menghidang arak ia berjaya diiktiraf sebagai “Best Airlines Service” dan berada di tangga ke 17 dunia mengikut penarafan Skytrax.
MAS ditangga ke 27 dalam penarafan yang sama.
Mengapa Wong tidak sentuh syarikat penerbangan Negara Brunei Darul Salam iaitu Royal Brunei yang juga tidak hidang arak? Takut singgung hubungan Malaysia Brunei? Royal Brunei juga menerima rating 4 Star sebagaimana MAS tetapi mereka tidak hidang arak!
Wong tidak sentuh pun isu kenaikan duti eksais ke atas minuman beralkohol yang dicadangkan kerajaan dalam Bajet 2026. Mahu bentuk tabiat hidup yang sihat mungkin bukan keutamaan beliau atau DAP, tapi majoriti rakyat Malaysia mahukannya.
Kerajaan negeri PH di Negeri Sembilan yang turut dianggotai DAP turut melarang minuman berlakohol di Pantai Port Dickson kerana mahu mencegah insiden kacau ganggu kepada pengunjung Pantai, kenapa Wong tak sentuh? Pantai Port Dickson itu berapa pula keluasannya, pun kerajaan bimbang pada keselamatan pengunjung jika berlaku insiden kacau ganggu berpunca dari peminum yang mabuk, bayangkan keluasan atas pesawat penerbangan yang sempit dan terbang tinggi di udara pula, apa yang mungkin terjadi jika berlaku kacau ganggu?
Malaysia akan terus menjadi destinasi pelancong bukan kerana MAS hidangkan arak percuma kepada penumpang tertentu (bukan semua penumpang non Muslim kemaruk minum arak pun), tetapi kerana layanan baik kakitangan pesawat serta kedudkannya sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan berbagai tempat tarikan yang indah serta menawan.
Di hujung artikelnya Wong sebut MP-MP PAS cuma gemar dan mampu bawa isu agama bukannya menyentuh pun isu rasuah dan cadangan untuk memajukan ekonomi negara, mungkin dia terlepas berkajang-kajang laporan hansard Parlimen yang merekodkan cadangan dan teguran MP-MP PAS dalam isu berkenaan kerana matanya cuma pungut isu agama, jangan salahkan orang lain kerana kekurangan anda!
Tetapi itulah keupayaan Pengerusi yang mewakili agensi Berita Nasional, mengkambing hitamkan parti yang punya lebih 1 juta ahli dan disokong oleh jutaan rakyat Malaysia sehingga mampu menguasai 4 buah negeri dan merupakan blok terbesar di Parlimen semata-mata kerana mahukan pujian Tuan politiknya.
PAS bukan naik atas lantikan orang tertentu sebagaimana Wong tetapi PAS naik atas sokongan dan dukungan rakyat Malaysia. Kritkan Wong dan DAP mungkin boleh laku pada segmen atau kelompok tertentu, tetapi anak-anak muda , rakyat Malaysia khususnya melihat PAS sebagai parti masadepan negara. Teruslah memuji Tuan politik anda yang semakin diragui rakyat itu.
Sumber | FB Roslan SMS

No comments
Post a Comment