NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ong Kian Ming Saran Kerajaan Kembalikan GST Bagi Stabilkan Kewangan Negara

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming, menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seawal tahun depan bagi mengekang peningkatan hutang negara dan menstabilkan kedudukan fiskal.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai profesor di sebuah universiti swasta berkata, beban bayaran faedah hutang kerajaan meningkat kepada 17 peratus di bawah pentadbiran Kerajaan Madani, berbanding 14 peratus pada 2022 dan 13 peratus pada 2017, melebihi paras selamat 15 peratus yang sering dijadikan penanda aras antarabangsa.

“Saya bimbang dengan kadar pertumbuhan hutang dan caj faedah tahunan yang semakin tinggi. Ia memberi tekanan besar kepada perbelanjaan mengurus kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Menurut beliau, sejak pemansuhan GST pada 2018, kerajaan kehilangan hasil antara RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun, manakala subsidi pukal bahan api yang diperkenalkan semula turut menambah beban kewangan kerajaan antara RM20 bilion hingga RM30 bilion setahun.

“Gabungan kedua-dua dasar ini mewujudkan jurang hasil antara RM40 bilion hingga RM60 bilion setahun. Dalam tempoh tujuh tahun, jumlahnya mencecah antara RM280 bilion hingga RM420 bilion,” katanya.

Ong menjelaskan bahawa keputusan untuk memansuhkan GST dan menggantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selain mengekalkan subsidi menyeluruh telah melemahkan asas kewangan kerajaan.

Statistik menunjukkan perbelanjaan tahunan kerajaan persekutuan meningkat daripada RM262.8 bilion pada 2017 kepada RM470 bilion pada 2026, peningkatan sekitar 80 peratus atau RM207 bilion dalam tempoh sembilan tahun.

Seiring itu, hutang negara meningkat daripada RM687 bilion (2017) kepada RM1.401 trilion pada 2026, manakala bayaran faedah tahunan pula melonjak daripada RM20.8 bilion kepada RM58.3 bilion bagi tempoh yang sama.

Ong berkata, langkah kerajaan kini untuk meningkatkan kadar SST, memperkenalkan beberapa cukai baharu serta menyasar semula subsidi merupakan reaksi kepada tekanan fiskal yang semakin ketara, khususnya untuk menampung tambahan kos faedah hutang sekitar RM38 bilion setiap tahun.

Beliau menambah, pelaksanaan semula GST dengan kadar permulaan sederhana serta mekanisme bantuan bersasar kepada golongan berpendapatan rendah boleh menjadi langkah seimbang untuk mengukuhkan semula kedudukan fiskal tanpa membebankan rakyat secara keterlaluan.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo