KOTA KINABALU, 21 Okt – Kerjasama strategik antara kerajaan Sabah dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di bawah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) membuahkan hasil lumayan apabila kontraktor minyak dan gas tempatan berjaya memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun lalu sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy Sdn Bhd, Dionysia Kibat, berkata angka tersebut menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tempoh sebelum pelaksanaan CCA pada 2021.
“CCA memberikan Sabah suara, penyertaan dan perkongsian hasil yang lebih besar dalam sektor minyak dan gas negara. Ia membolehkan kontraktor tempatan terlibat dalam projek bernilai tinggi dan bukan sekadar kerja logistik atau katering seperti dahulu,” katanya dalam wawancara bersama Free Malaysia Today (FMT).
Beliau berkata, pada 2024 sahaja, nilai projek yang diperoleh diagihkan secara sama rata antara kontraktor berpusat di Sabah dan firma milik anak negeri yang beroperasi di luar negeri itu.
Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, kontrak sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) bernilai RM1.53 bilion telah dianugerahkan kepada kontraktor Sabah, meningkat ketara daripada RM613 juta pada 2021.
Dionysia menegaskan, dasar yang digubal melalui CCA memastikan penyertaan tempatan lebih meluas dan mengelak amalan “Ali Baba”, di mana kontrak diserahkan kepada pihak luar tanpa manfaat sebenar kepada rakyat tempatan.
Untuk memperkukuh penyertaan dalam industri tenaga, Majlis Kandungan Tempatan Sabah ditubuhkan bagi menggalakkan kolaborasi antara pemain industri dan memastikan peluang perolehan diagihkan secara adil.
CCA yang dimeterai pada 7 Disember 2021 antara kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dan Petronas dianggap satu kejayaan penting dalam usaha menuntut semula hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Dionysia, pelaksanaan dasar baharu ini turut membawa kesan berganda terhadap ekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran tempatan dan pembangunan taman perindustrian strategik seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP) serta Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
“Apabila pelaburan besar seperti Esteel Sabah bernilai RM31 bilion dan Kibing Solar bernilai lebih RM10 bilion memasuki negeri ini, ia bukan sahaja menjana pekerjaan langsung tetapi turut memperkukuh keseluruhan rantaian bekalan industri,” katanya.
Beliau menambah bahawa SMJ Energy kini bekerjasama rapat dengan Petronas dalam penyediaan Pelan Induk Gas Sabah, termasuk inisiatif tenaga baharu seperti projek geoterma, bagi memastikan manfaat hasil bumi negeri dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat Sabah.
— 1Media my / FMT

No comments
Post a Comment