NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ratusan Nelayan Indonesia Kepung, Halau Kapal Milik Petronas di Perairan Madura

JAKARTA, 21 Okt – Sebuah kapal tinjau milik Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dilaporkan dikepung dan dihalau oleh ratusan nelayan Indonesia berhampiran Ketapang, Pulau Madura, minggu lalu.

Menurut laporan portal tempatan Tribunnews, insiden itu berlaku sekitar tengah hari pada 17 Oktober apabila kira-kira 100 perahu nelayan tradisional mengelilingi kapal Petronas, dikenali sebagai Prospero 9, yang sedang menjalankan kerja tinjauan di kawasan perairan tersebut.

Dalam beberapa rakaman video yang tular di media sosial, nelayan dilihat menjerit dan menggesa kapal berkenaan menghentikan operasi serta meninggalkan kawasan itu dengan segera.

Seorang nelayan, Faisol Rahman, mendakwa kapal Petronas telah berada di kawasan tersebut selama tiga hari sebelum konfrontasi berlaku. Menurutnya, nelayan menuntut agar kerja peletakan kabel dasar laut dihentikan dan meminta syarikat itu menarik semula kabel yang telah dilepaskan.

Kumpulan nelayan terbabit turut mendakwa aktiviti tinjauan oleh syarikat minyak dan gas Malaysia itu telah menjejaskan kawasan tangkapan ikan mereka.

Setakat ini, Petronas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden berkenaan.

Pihak berkuasa tempatan dilaporkan sedang meneliti perkara tersebut bagi memastikan ia diselesaikan mengikut saluran diplomatik dan perundangan sedia ada.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo