KUALA LUMPUR, 21 Okt 2025 –
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, menegur tindakan segelintir pemimpin Sabah yang mengugut untuk meletak jawatan dalam kabinet sekiranya Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah menerima 40% hasil persekutuan.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “ugutan politik yang tidak sihat” dan menegaskan bahawa proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan tanpa tekanan politik.
“Jika kita benar-benar menghayati prinsip kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan, biarlah AGC menjalankan tugasnya,” kata Hassan.
Mahkamah Tinggi sebelum ini memutuskan bahawa Sabah berhak secara perlembagaan menerima 40% hasil yang dikutip kerajaan persekutuan dari negeri itu, serta mengarahkan semakan dan penyelesaian tunggakan antara 1974 hingga 2021 dalam tempoh 180 hari.
Presiden Upko, Ewon Benedick, sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan jika kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.
Hassan menambah, keputusan Mahkamah Tinggi perlu melalui semakan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan — forum tertinggi untuk isu perlembagaan.
“Malaysia sebuah negara persekutuan akan rosak jika politik ugutan digunakan untuk melemahkan kerajaan pusat,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Sabah menerima peruntukan tinggi dalam Belanjawan Persekutuan 2026, melebihi beberapa negeri di Semenanjung.
~ 1Media.my

No comments
Post a Comment