NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu Arak Dalam Penerbangan: ‘Ini Bukan Soal Parti, Ini Soal Agama’ – Zainul Rijal

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Penasihat Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, menyatakan sokongan terhadap cadangan agar Malaysia Airlines (MAS) menghentikan penghidangan minuman beralkohol dalam penerbangan, atau sekurang-kurangnya tidak mewajibkan kru kabin Muslim menghidangkannya.

Menurut beliau, isu ini bukan soal politik tetapi melibatkan tuntutan agama dan kepekaan terhadap hukum Islam yang seharusnya dihormati oleh syarikat penerbangan nasional.

“Saya bukan ahli PAS, tetapi saya menyokong cadangan Ahli Parlimen PAS agar Malaysia Airlines tidak menghidangkan arak atau sekurang-kurangnya tidak memaksa kru kabin Muslim menghidangkannya kerana ia bertentangan dengan hukum Islam,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Zainul Rijal yang juga peguam kanan berkata, beliau telah lama menyarankan supaya kakitangan syarikat penerbangan diberi pilihan untuk berpakaian menutup aurat tanpa halangan daripada majikan.

Kenyataan beliau hadir susulan perbahasan awam berhubung gesaan beberapa Ahli Parlimen PAS, termasuk Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun, yang meminta MAS menghentikan hidangan alkohol dalam semua penerbangan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dalam kenyataan sinis mencadangkan PAS menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, “PAS Airlines”, susulan desakan tersebut.

Isu berkenaan mencetuskan perbincangan hangat di media sosial serta reaksi berbeza daripada pelbagai pihak — ada yang menegaskan keperluan menghormati nilai Islam, dan ada yang berpendapat syarikat penerbangan nasional wajar kekal inklusif kepada pelancong antarabangsa.

1Media.my

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo