Walaupun ahli MIC termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan berhak untuk memberikan pandangan, beliau berkata paling mustahak adalah keputusan mesti diputuskan secara konsensus.
Ini kerana hal membabitkan hala tuju parti bukan 'milik' individu tertentu saja.
Difahamkan keputusan sama ada parti itu akan kekal dengan BN atau sebaliknya, akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Agung MIC pada 16 November depan.
"Keputusan mengenai hala tuju parti bukan pendapat perseorangan walaupun semua ahli termasuk Timbalan Presiden ada hak untuk memberi pendapat dalam semua isu berkenaan parti.
"Tetapi keputusan mutlak membabitkan hal seperti seperti hala tuju parti adalah keputusan sama. Jadi keputusan akhir sama ada mahu keluar BN atau tidak belum ditentukan," katanya kepada BH.
Beliau menjawab pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang kononnya MIC bakal keluar daripada BN, bulan depan.
Berdasarkan video dimuatnaik di akaun TikTok Tajuddin, bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa beliau memperoleh maklumat itu daripada Saravanan ketika sambutan Deepavali di kediaman Ahli Parlimen Tapah itu semalam.
Menurut Tajuddin, Saravanan dikatakan tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang mendorong MIC membuat keputusan untuk meninggalkan BN pada bulan depan.
Bagaimanapun, Tajuddin tidak memperincikan punca kenapa MIC mahu keluar daripada gabungan parti itu kononnya ia sensitif dan sulit.
Selain MIC, MCA juga diuar-uarkan bakal meninggalkan BN, namun dinafikan presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Bercakap kepada BH semalam, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mengakui MCA tiada masalah dengan BN.
Memetik laporan BH pada Jumaat lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya bersikap terbuka termasuk tidak menghalang sekiranya ada parti komponen mahu meninggalkan gabungan.
Merujuk tindakan MIC mahu keluar gabungan, Presiden UMNO itu berkata ia terpulang kerana tiada paksaan terhadap parti komponen untuk menyertai atau keluar daripada BN.
Sumber | Bharian

No comments
Post a Comment