KUALA LUMPUR, 28 Okt – Gerakan untuk menjatuhkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa telah bermula sejak beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata pemerhatiannya menunjukkan berlaku perubahan sikap ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti selepas peletakan jawatan itu.
“Beberapa pemimpin mula menjauhkan diri daripada Tan Sri Muhyiddin dan tidak lagi mengambil serius arahannya. Malah, mesej yang dihantar tidak dijawab berhari-hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Marzuki turut mendakwa seorang pemimpin sayap muda yang sebelum ini dianggap rapat dengan Muhyiddin mula menyatakan secara terbuka bahawa Presiden BERSATU itu tidak lagi relevan.
“Sebagai ketua parti tanpa jawatan dalam Kabinet, beliau dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak,” katanya.
Menurutnya, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau pernah bertanya secara santai sama ada Muhyiddin berhasrat bersara berikutan cabaran yang dihadapi dalam kepimpinan parti.
“Beberapa orang kanan BERSATU ketika itu tidak lagi menghormati beliau, parti pula kekurangan dana, manakala PAS belum memutuskan sama ada mahu bekerjasama dengan BERSATU atau UMNO,” katanya.
Namun, jelas Marzuki, Muhyiddin menolak untuk berundur kerana menganggap dirinya mempunyai tanggungjawab sebagai ketua parti yang perlu memimpin sehingga ke medan pilihan raya.
“Beliau menyatakan, kalau memikirkan diri sendiri, sudah lama beliau berhenti. Tetapi sebagai ketua, tidak mungkin beliau meninggalkan bala tenteranya sebelum berperang,” katanya.
Marzuki berkata, keputusan PAS untuk bersama Perikatan Nasional (PN) kemudiannya mencetuskan gelombang ‘Abah’ yang membantu kemenangan PN dengan 74 kerusi Parlimen pada PRU15.
Bagaimanapun, katanya, walaupun Muhyiddin memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri, takdir menentukan beliau tidak menjadi Perdana Menteri ke-10.
“Selepas PN gagal membentuk kerajaan, ada pihak mula menyalahkan Muhyiddin, termasuk mempersoalkan ketegasannya menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan,” katanya.
Terdahulu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, dilaporkan mendesak Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Presiden BERSATU dengan alasan beliau telah kehilangan kualiti kepimpinan yang pernah dimilikinya.

No comments
Post a Comment