KUALA LUMPUR, 26 Okt – Hanya dua minggu selepas menegaskan Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Keamanan Gaza kerana memberikan “sokongan bersyarat” terhadap pelan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji pelan sama sebagai “jalan menuju keamanan yang adil dan berkekalan.”
Perubahan nada itu disuarakan Anwar ketika berucap di Sidang Kemuncak ASEAN–Amerika Syarikat di Kuala Lumput, di mana beliau turut memuji kepimpinan Trump sebagai “mampu membuka lembaran baharu diplomasi global.”
“Berhubung isu Gaza, kami menyambut baik pelan komprehensif anda untuk menamatkan konflik tersebut. Ia memberi dunia sinar harapan bahawa walaupun dalam konflik paling sukar, diplomasi dan tekad masih boleh mengatasi segalanya,” katanya di hadapan Presiden AS itu.
Namun, kenyataan itu segera mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati politik, memandangkan pada 12 Oktober lalu, Anwar dilaporkan berkata Malaysia tidak dijemput ke Sidang Kemuncak Keamanan Gaza di Sharm el-Sheikh kerana tidak menyokong penuh pelan 20 perkara Trump.
Ketika itu, beliau menegaskan Malaysia hanya memberikan “sokongan bersyarat”, antaranya syarat supaya pelan tersebut mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk kembali ke tanah asal mereka serta pembentukan negara Palestin yang berdaulat.
“Malaysia tidak termasuk (dalam senarai jemputan) kerana kita memberikan sokongan bersyarat,” kata Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Parlimen dua minggu lalu.
Kenyataan terbaharu bagaimanapun dilihat sebagai langkah lunak dan mendekati Washington, khususnya selepas kedua-dua negara hari ini menandatangani Perjanjian Perdagangan Resiprokal AS–Malaysia — satu perjanjian yang memberikan akses pasaran dan pelaburan dua hala secara lebih terbuka.
Penganalisis politik berpendapat perubahan pendirian itu mungkin didorong oleh keperluan diplomatik, namun bagi sesetengah pihak ia menampakkan kelemahan konsistensi dasar luar Malaysia terhadap isu Palestin.
“Dalam tempoh dua minggu, mesejnya berubah daripada bersyarat kepada pujian penuh. Ia menimbulkan persoalan: adakah tekanan diplomatik atau keperluan ekonomi lebih dominan berbanding prinsip solidariti terhadap Palestin?” kata seorang penganalisis dasar luar tempatan kepada Bernama.
Perkembangan itu juga mendapat perhatian media antarabangsa yang menyifatkan Malaysia kini mengimbangi idealisme pro-Palestin dengan realiti geopolitik perdagangan global.
Dengan hubungan ekonomi yang kini semakin rapat antara Putrajaya dan Washington, pemerhati menjangka nada Malaysia dalam isu Timur Tengah akan menjadi lebih pragmatik, selaras dengan strategi diplomasi “tidak berkonfrontasi” yang sering ditekankan oleh Anwar.
— 1Media.my

No comments
Post a Comment