NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Papagomo ditahan lagi, disiasat bawah Akta Hasutan

KUALA LUMPUR – Pempengaruh dan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang lebih dikenali sebagai Papagomo ditahan polis awal pagi tadi.

Beliau yang juga menggunakan akaun Facebook bernama @Sir Azri dilaporkan ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut pemakluman yang dikongsikan peguamnya, Rafique Rashid, Papagomo telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Pempengaruh dan pengkritik Kerajaan, Wan Muhammad Azri @Papagomo @Sir Azri telah ditahan PDRM jam lebih kurang 12.30 awal pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Rafique memaklumkan bahawa anak guamnya telah tiba di IPD Dang Wangi sejurus penahanan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Beliau juga berkata, permohonan reman dijangka akan dibuat di mahkamah pagi ini.

“Telah tiba di IPD Dang Wangi dan dijangka reman pagi ini jam 9.30 pagi,” katanya lagi.

Siasatan ke atas Papagomo difahamkan dijalankan di bawah Akta Hasutan 1948.

Kenyataan itu ditandatangani Rafique Rashid bertarikh 26 Oktober 2025, jam 2.40 pagi.

Pada 30 April 2024, Papagomo pernah ditahan oleh polis selepas didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu video yang tular.

Selain itu, pada 27 Ogos 2025, beliau dijatuhi hukuman 30 hari penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina dan mengabaikan injunksi mahkamah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Sumber – MalaysiaGazette


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo