KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan mengkaji semula penyelarasan subsidi bersasar petrol RON95 yang dilihat masih belum sedia untuk dilaksanakan.
Naib Ketuanya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, pihaknya bimbang pelaksanaan penyelarasan subsidi itu hanya akan menambah beban rakyat khususnya golongan miskin bandar di Selangor.
Apatah lagi, ujar beliau, kerajaan sehingga kini masih gagal memberikan penjelasan tuntas mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar tersebut.
“Persoalan utama ialah siapakah dalam kalangan M40 yang layak menerima subsidi dan siapakah yang akan dinafikan? Apakah kriteria penyaringan yang digunakan?
“Dan bagaimana kerajaan menimbang pendapatan isi rumah dengan kos sara hidup yang semakin menekan di kawasan bandar?
“Hakikatnya, bukan sahaja golongan B40, bahkan golongan M40 juga amat berisiko kerana majoriti golongan ini tinggal di Selangor dan sering dipinggirkan daripada perhatian dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Muhammad Faizzuddin kegagalan sistem digital akibat ketidaksediaan kerajaan juga menjadi kebimbangan utama yang mendesak supaya penyelarasan subsidi petrol RON95 tidak diteruskan.
Jelasnya, insiden ketika pelaksanaan bantuan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) baru-baru ini yang mana ramai pengguna gagal mengesahkan Mykad mereka lalu terpaksa meninggalkan barangan, menimbulkan trauma rakyat.
“Jika isu sama berulang dalam pelaksanaan subsidi RON95, implikasinya akan jauh lebih besar kerana bahan api merupakan keperluan asas harian,” katanya.
Ujar beliau, Malaysia ketika ini juga masih mencatatkan kadar penggunaan pengangkutan awam yang sangat rendah iaitu hanya 25 peratus berbanding Singapura (67 peratus), Tokyo (73 peratus) dan Seoul (63 peratus).
Katanya, angka itu jauh ketinggalan daripada sasaran 40 peratus dalam Dasar Pengangkutan Negara 2019–2030.
“Hal ini membuktikan majoriti rakyat, khususnya M40, masih bergantung sepenuhnya kepada kenderaan persendirian.
“Bagaimana pula nasib rakyat di pinggir bandar yang tidak mempunyai akses pengangkutan awam mencukupi?” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, Pemuda Pas Selangor menggesa supaya kerajaan lebih teliti dan bertanggungjawab serta tidak terburu-buru melaksanakan dasar yang hanya menguntungkan kerajaan tetapi menekan rakyat.
“Kami mendesak agar kaedah subsidi bersasar ini dikaji semula dengan lebih kreatif, inovatif dan berkesan, demi membantu rakyat menghadapi cabaran hidup, bukannya menambah beban yang sudah sedia berat,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment