KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI), P. Ramasamy mempersoalkan mengapa MIC dan MCA mengambil masa begitu lama untuk sekurang-kurangnya memikirkan keputusan menyertai gabungan pembangkang.
Menurut beliau, setelah sekian lama setia, sikap tunduk dan setia secara membuta tuli dan tunduk kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak lagi boleh diterima.
Katanya, kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India terhadap kedua-dua parti itu bukan semata-mata kerana kelemahan mereka sendiri, tetapi sebahagian besarnya disebabkan cara layanan yang diberikan oleh UMNO.
“Penghambaan’ UMNO terhadap kedua-dua parti inilah yang membawa mereka ke keadaan malang pada hari ini.
“Sekiranya kepimpinan MCA dan MIC tidak berpuas hati dengan sekadar sisa kuasa yang dilemparkan kepada mereka, mungkin sejarah politik negara akan jauh berbeza hari ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah beliau, ketika ini, hubungan antara MCA, MIC dan pimpinan UMNO berada pada tahap paling rendah.
Namun, katanya, sama ada Perikatan Nasional (PN) benar-benar serius untuk menerima dua parti bukan Melayu itu juga masih belum dapat dipastikan.
Ujar beliau, pembangkang mungkin sengaja mengganggu kepimpinan UMNO dengan jemputan terbuka kepada MCA dan MIC, tetapi mereka juga sedar kedua-dua parti tersebut tidak lagi berupaya menarik sokongan besar masyarakat bukan Melayu.
Dalam masa sama, tambahnya, pemimpin MCA dan MIC juga sedar menyertai PN bukanlah perkara mudah kerana mereka mungkin kehilangan sedikit sebanyak manfaat yang masih dinikmati di dalam BN.
“Terdapat juga spekulasi bahawa sebaik sahaja kedua-dua parti ini meninggalkan BN, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mungkin akan segera mengetuk pintu rumah para pemimpin mereka.
“Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tahu bagaimana berdepan dengan pembangkang.
“Pendakwaan terpilih sudah menjadi ciri utama pentadbiran semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment