Penduduk Kampung Sungai Baru yang berdepan ancaman kediaman mereka diambil alih secara paksa oleh pemaju dengan sokongan pihak berkuasa berikrar tidak akan tunduk dengan ugutan, susulan tular sebuah pesanan teks yang menawarkan wang sekiranya hadir menyamar sebagai jemputan pada sebuah majlis bantahan dianjurkan penduduk.
Ia menjelang tindakan pengusiran yang dijadualkan pada pagi Khamis ini, di mana penduduk sebelum ini telah bertekad melawan habis-habisan mempertahankan tanah rezab Melayu tersebut yang mencecah nilai hartanah puluhan juta ringgit.
Sejak semalam, penduduk memulakan majlis solat hajat yang akan diadakan setiap hari sehingga 11 September, dari 9.00 hingga 11.00.
Bagaimanapun, sebuah pesanan WhatsApp yang tular menawarkan bayaran RM100 kepada mana-mana individu kononnya bagi meramaikan bantahan pembangunan pada 11 September, iaitu tarikh di mana pengusiran kali kedua akan dilakukan seperti mana dimaklumkan melalui notis kepada penduduk.
"Satu job santai... just datang meramaikan majlis membantah pembangunan di Sg Baru Kg Baru 11hb September jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, makan minum semua bagi, berminat PM bagi nombor IC, nama penuh nombor, phone, payment RM100," menurut pesanan itu yang dihantar oleh seorang bernama Tony.
Susulan itu, penduduk yang sebelum ini menceritakan bagaimana mereka diugut "gengster" untuk mengosongkan rumah, membuat laporan polis kerana bimbang akan dituduh sekiranya berlaku kekacauan.
“Kami tidak mahu ada salah faham seolah-olah penduduk yang mencetuskan kekacauan. Ini isu besar yang kita takut boleh membabitkan nyawa," kata penduduk Syazrin Dinie Ibrahim kepada MalaysiaNow.
Syazrin yang turut membuat laporan polis berkata dia bimbang pemaju mengupah orang luar untuk menimbulkan provokasi.
"Mesej itu mungkin cubaan menggunakan 'gengster' tempatan menyamar sebagai penduduk dan buat kekecohan, dan akhirnya penduduk Sungai Baru ini disalahkan," katanya.
Menurut Syazrin, penduduk tidak akan buat apa-apa yang bertentangan dengan undang-undang seperti yang diarahkan peguam.
"Kami cuma pertahankan hak kami sahaja," katanya.
Penduduk berkata pemaju sepatutnya menunggu keputusan rayuan yang difailkan penduduk. Tarikh pendengaran kes itu ditetapkan tahun depan.
"Pemaju sudah dimaklumkan tentang itu, tapi masih nak teruskan juga dengan notis, dari situ dah nampak tak ada keadilan kepada penduduk,” kata Syazrin.
Dalam laporan polis mereka, penduduk meminta polis menyiasat dalang di sebalik penyebaran mesej tersebut, di samping kawalan keselamatan di Kampung Sungai Baru pada Khamis ini.
Polemik pembangunan semula Kampung Sungai Baru bermula selepas kerajaan mewartakan pengambilan tanah pada 21 Jun 2021 di bawah Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT).
Pewartaan itu melibatkan 410 unit kediaman termasuk 37 rumah teres, 72 unit flat dan selebihnya pangsapuri dengan anggaran lebih 2,000 penduduk yang terkesan.
Penduduk sebelum ini menampilkan dokumen dikeluarkan pada 1932 oleh Residen Selangor, yang jelas mengenal pasti Kampung Sungai Baru sebagai sebahagian daripada Tanah Pertanian Melayu atau MAS, status di bawah pentadbiran kolonial British yang memberikannya perlindungan dan syarat ketat daripada sebarang pengambil alihan tanah.
Mereka juga menolak tawaran pemaju kerana menganggap pampasan terlalu rendah berbanding nilai pasaran sebenar di tengah bandar raya Kuala Lumpur dan hanya beberapa minit perjalanan dari Segitiga Emas dan KLCC dengan nilai hartanah yang melebihi RM1,000 setiap kaki persegi.
Sebelum ini, peguam mewakili penduduk, N Surendran menggesa pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengakui kesilapan dalam menggunakan APT, sebaliknya menggunakan kuasanya untuk memberikan "tawaran baru dan lebih adil".
Surendran berkata status Kampung Sungai Baru sebagai tanah MAS tidak pernah dibatalkan sama ada melalui persetujuan dua pertiga Parlimen ataupun dokumen pembatalan yang dikemukakan kepada pejabat tanah.
Sementara itu, aktivis Rafidah Ibrahim berkata perjuangan penduduk bukan semata-mata soal pampasan, tetapi kerana mempertahankan hak serta maruah orang Melayu di tengah-tengah Kuala Lumpur.
Katanya mesej WhatsApp yang tular mendedahkan mengumpulkan ratusan "gengster" menjelang tindakan pengusiran.
"Mereka nak guna kekerasan sampai tahap yang bagaimana," soal Rafidah.
Katanya, kira-kira 20 penduduk yang akan menerima notis pada Khamis ini bertegas mempertahankan hak mereka.
Beliau berkata ada kemungkinan pemaju akan bertindak mengunci pintu rumah penduduk.
Rafidah memberi amaran tindakan pemaju boleh mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat terutama orang Melayu.
"Kalau benar mereka berkeras dengan kekerasan, saya yakin rakyat Malaysia akan bangkit kerana orang akan nampak dengan jelas siapa yang menzalimi siapa," katanya.
Sumber | MalaysiaNow
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment