KUALA LUMPUR – Pengharaman vape tidak akan menyelesaikan masalah kesihatan awam, sebaliknya hanya menguntungkan rokok dan pasaran gelap, kata Pertubuhan Malaysian Organisation of Vape Entity (MOVE).
Presidennya, Samsul Kamal Ariffin berkata, kerajaan sepatutnya memilih pendekatan kawal selia yang telus dan berasaskan sains, bukannya larangan menyeluruh yang terbukti tidak berkesan.
“Vape bukan dadah. Ia hanyalah peranti, sama seperti picagari atau inhaler. Bahaya sebenar datang daripada produk tidak sah yang dicampur bahan terlarang, dan ia berkembang kerana wujudnya larangan,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Menurut beliau, menggabungkan vape bersama isu penyalahgunaan dadah adalah langkah mengelirukan dan menjejaskan dasar awam.
Sebaliknya, kawal selia mampu memastikan peranti itu digunakan untuk tujuan positif, khususnya sebagai alat sokongan berhenti merokok.
Samsul Kamal turut merujuk kajian Public Health England (2015) yang mendapati vape adalah 95 peratus kurang berbahaya daripada rokok tembakau, menjadikannya alternatif yang lebih selamat.
“Jika Malaysia mengharamkan vape, perokok tidak dilindungi. Mereka masih boleh beli rokok di mana-mana kedai, tetapi tidak dibenarkan mendapatkan pilihan yang lebih selamat. Itu sangat tidak masuk akal,” ujarnya.
Beliau menambah, negara seperti United Kingdom dan New Zealand telah berjaya mengintegrasikan vape dalam strategi pengurangan mudarat tembakau dengan kawal selia, pendidikan serta kempen kesedaran awam.
Mengulas kebimbangan mengenai belia, beliau menegaskan bahawa sejarah membuktikan larangan menyeluruh hanya meluaskan pasaran gelap.
“Larangan mendorong penjualan tidak terkawal di jalanan, tanpa had umur atau standard keselamatan. Dengan kawal selia, akses boleh dipantau melalui lesen penjualan, had umur, serta penalti tegas terhadap peniaga,” katanya.
Jelasnya, penangguhan larangan vape tidak wajar dilihat sebagai kelemahan dasar, sebaliknya peluang untuk menggubal kerangka kawal selia yang lebih berkesan.
Larangan penuh bukan kemenangan untuk kesihatan awam. Ia hanya kemenangan untuk rokok, pasaran gelap, dan satu kerugian besar kepada perokok yang mahu berhenti. Pilihannya jelas kawal selia dengan sains, bukan sekadar ugutan larangan,” tegasnya.
Sumber | MalaysiaGazzete
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment