KUALA LUMPUR – Kehadiran Timbalan Ketua Pemuda MIC, K. Kesavan ke perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Armada Bersatu kelmarin, menimbulkan kebimbangan serius mengenai komitmen parti itu terhadap Kerajaan Perpaduan.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, M. Thulsi berkata, ketika Kerajaan Perpaduan seharusnya memperkukuhkan kerjasama demi rakyat, tindakan Kesavan memberi isyarat salah dan menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan sebenar parti berkenaan.
Apa yang membimbangkan, jelasnya, MIC terus menikmati manfaat sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, namun dalam masa sama, melayani penerimaan oleh Perikatan Nasional (PN).
“Kenyataan pemimpin parti itu sendiri yang berasa seperti `tetamu yang tidak diundang’ dalam Kerajaan Perpaduan hanya menambahkan kekeliruan dan berisiko terus menjauhkan komuniti India yang kononnya mereka wakili,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, media melaporkan Kesavan turut hadir dan duduk di barisan hadapan pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) sayap Armada Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Malah, Perwakilan Armada Bersatu turut bersorak apabila kehadiran wakil MIC disebut dalam ucapan Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham.
Kesavan menghadiri majlis itu ketika beberapa pemimpin MIC sebelum ini membayangkan hasrat untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) dan bersedia membentuk kerjasama politik baharu selepas berasakan diabaikan dalam Kerajaan Perpaduan.
Sementara itu, Thulsi yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Perak mendesak pemimpin MIC menjelaskan mengapa sayap Pemuda parti tersebut mengambil bahagian dalam majlis Bersatu.
Jelasnya, meskipun dialog antara politik merupakan pendekatan penting, namun ia tidak seharusnya mengorbankan matlamat bersama khususnya dalam Kerajaan Perpaduan.
“Rakyat berhak mengetahui sama ada kehadiran Kesavan ke majlis Bersatu itu menandakan perubahan keutamaan MIC ketika ini,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mendesak MIC menjelaskan serta berterus terang dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mana pemimpin parti itu berdiam diri dan tidak membangkitkan sebarang isu dalam mesyuarat gabung politik tersebut.
“Apakah ini bermaksud, walaupun menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, MIC tidak membangkitkan isu berkaitan kebajikan rakyat kepada para pemimpin yang duduk dalam Kabinet?” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment