NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon Muhyiddin sebagai PM ke-11 elak perebutan dalaman- Ramasamy




KUALA LUMPUR – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencalonkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-11 disifatkan berjaya mengelakkan perebutan dalaman sekali gus mengukuhkan kesepaduan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, pencalonan itu juga sejajar dengan pendirian Pas sebelum ini yang tidak menuntut jawatan PM meskipun merupakan parti terkuat dalam PN.

Jelas beliau, pencalon Muhyiddin bukan sahaja memperkukuh peranan kepimpinan Bersatu dalam PN, tetapi mencerminkan strategi gabungan itu yang mengimbangi pengaruh dengan kelayakan.

Bagi Bersatu, ujarnya, menamakan Muhyiddin sebagai calon adalah sesuatu yang logik dan strategik.

Ini kerana, jelas beliau, kerjaya Muhyiddin yang panjang sebagai menteri Persekutuan dan kemudiannya perdana menteri memberinya kredibiliti sebagai calon paling berpengalaman untuk menerajui negara.

“Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang juga bekas menteri, bijak untuk tidak mencabar hakikat ini.

“Keputusan untuk menutup ruang perpecahan walaupun terdapat sedikit rungutan memperkukuh imej Bersatu sebagai parti yang berdisiplin dan bersedia untuk mentadbir negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Semalam, Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 secara sebulat suara dan bersetuju mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-11 daripada parti itu.

Tambah Ramasamy, walaupun pencalonan Muhyiddin dibayangi dengan kes dakwaan rasuah beliau di mahkamah, namun beliau berpandangan tuduhan itu bermotifkan politik.

Dakwanya, tuduhaan rasuah ke atas Muhyiddin itu adalah usaha yang disengajakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melemahkan pembangkang.

“Corak pendakwaan terpilih ini tidak boleh diabaikan,” katanya.

Dalam masa sama, tambah beliau, pencalonan Muhyiddin sebagai PM ke-11 memberi beberapa isyarat antaranya menunjukkan Bersatu lebih mementingkan kesatuan daripada perpecahan.

Selain itu, katanya, sikap Pas yang beralah menonjolkan kestabilan dalaman PN, iaitu satu gabungan yang sanggup mengutamakan strategi daripada ego.

Dalam masa sama, ujar beliau, ia juga menyorot masalah berterusan pendakwaan terpilih di Malaysia, di mana tuduhan rasuah lebih banyak digunakan untuk melemahkan lawan politik berbanding menegakkan keadilan.

“Setakat ini, Muhyiddin adalah pilihan mutlak Bersatu untuk menjadi perdana menteri ke-11 Malaysia.

“Pengalaman, ketahanan, dan keupayaannya menyatukan parti menjadikannya calon yang ampuh.

“Sama ada rakyat Malaysia akan menerimanya atau tidak, memandangkan cabaran undang-undang yang sedang dihadapinya, masih menjadi persoalan,” katanya.

Namun, sesuatu yang jelas, tambah Ramasamy, sikap  dwistandard Kerajaan Madani dalam menangani isu rasuah telah pun menghakis keyakinan rakyat.

Jelasnya, jika keadilan terus dilaksanakan secara terpilih, lebih ramai rakyat mungkin akan melihat Muhyiddin bukan sebagai ahli politik yang tercemar, tetapi sebagai mangsa penganiayaan politik. – MalaysiaGazette










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo