NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

5 jawatan Pas menang tanpa bertanding bukan sebab tepu, tapi demi kestabilan




KUALA LUMPUR – Pas memilih mengekalkan pucuk pimpinan tertinggi bukan kerana ketiadaan calon berwibawa, tetapi kerana kestabilan merupakan aset politik.

Pengarah Jabatan Penerangan Polisi dan Dasar, Dewan Pemuda Pas, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, dalam dunia politik moden yang sarat dengan polemik dalaman dan pertukaran pemimpin secara kerap, kestabilan menjadi nilai tambah yang jarang dimiliki.

Namun, ujar beliau, kestabilan tidak bermakna jumud, sebaiknya peremajaan parti berlaku di peringkat lain melalui barisan kepimpinan muda di Dewan Pemuda, Muslimat serta Dewan Himpunan Penyokong Pas.

“Ruang ini menjadi makmal idea baharu yang sentiasa dibawa naik ke meja kepimpinan tertinggi.

“Maka, apa yang dikatakan “status quo” sebenarnya adalah landasan mantap untuk inovasi politik berakar umbi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengulas mengenai dakwaan Pas kini menjadi parti `tepu’ susulan kesemua lima jawatan tertinggi membabitkan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti itu secara rasmi dimenangi tanpa bertanding pada pemilihan kali ini.

Sementara itu, menjawab kepada dakwaan pertembungan antara kumpulan profesional dan ulama dalam Pas, Tengku Muhammad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura berkata, Pas sudah lama menzahir formula integrasi antara dua kumpulan berkenaan.

Jelas beliau, golongan ulama memberi panduan nilai dan prinsip; kumpulan profesional membawa keupayaan teknokratik, manakala aktivis lapangan menyalurkan denyut nadi rakyat.

Sementara itu, ujarnya, berbeza dengan parti lain yang kadang-kala terperangkap dalam budaya “cabar-mencabar” jawatan untuk memenuhi nafsu kuasa, Pas sebaliknya berpegang kepada konsep syura.

Tambahnya, setiap keputusan mengenai kepimpinan dan strategi dibahaskan di pelbagai peringkat, daripada cawangan hinggalah ke pusat.

“Konsep syura ini mungkin kelihatan “tidak popular” dalam kerangka demokrasi liberal, tetapi inilah jaminan bahawa kepimpinan Pas lahir daripada musyawarah mendalam, bukan sekadar populariti atau percaturan politik jangka pendek.

“Ia mengekalkan disiplin, menyatukan ahli, dan pada masa sama memastikan keputusan yang dibuat benar-benar berpijak kepada maslahat jamaah serta rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Tengku Muhammad mengajak golongan atas pagar khususnya anak muda dan profesional, menilai Pas bukan sekadar melalui persepsi “lama” atau “baharu” pada wajah kepimpinan.

Sebaliknya, ujar beliau, Pas menawarkan sesuatu yang lebih sukar dicari dalam politik hari ini iaitu kestabilan, disiplin, integrasi antara ulama dan profesional, serta mekanisme syura yang mengimbangi prinsip dan strategi.

“Jika politik moden Malaysia sering ditandai oleh perebutan kuasa, perpecahan dalaman, dan hilangnya arah, maka Pas tampil dengan wajah berbeza, konsistensi sebagai sumber daya segar, bukan ketepuan.

“Inilah yang menjadikan Pas terus relevan dan diyakini, bukan sahaja oleh ahli setia, tetapi juga oleh rakyat yang mencari alternatif politik matang, stabil, dan berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo