NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda PAS Bantah Pembentangan Tergesa-gesa RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025


KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah sekeras-kerasnya tindakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu membawa Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025 ke bacaan kali kedua di Dewan Rakyat dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua DPPM, Mohd Hafez Sabri berkata tindakan itu dianggap terburu-buru dan mengabaikan suara Parlimen serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi yang sebelum ini meminta bacaan kali kedua ditangguhkan.

“Surat rasmi JKPK bertarikh 20 Ogos 2025 telah menegaskan supaya persoalan besar, khususnya berkaitan nilai ambang persetujuan pemilik, diselesaikan terlebih dahulu. Bantahan ini bukan sahaja datang daripada Ahli Parlimen Perikatan Nasional tetapi juga daripada institusi Parlimen yang dilantik secara rasmi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata cadangan nilai ambang persetujuan 70 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 80 peratus bagi bangunan kurang 30 tahun adalah terlalu rendah berbanding standard antarabangsa, iaitu 90 peratus di Hong Kong dan 80 peratus di Singapura.

“Ahli Parlimen kerajaan sendiri telah menggesa ambang dinaikkan ke 85 peratus demi melindungi hak pemilik dan penyewa rumah kos rendah. Namun isu ini masih belum dijawab dengan jelas,” katanya.

Menurut beliau lagi, RUU PSB juga didakwa bercanggah dengan beberapa undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tanah Negara, Akta Hak Milik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.

“Kuasa luas yang diberikan kepada Menteri tanpa penjelasan jelas menimbulkan kebimbangan terhadap potensi manipulasi tanah rizab Melayu dan hak milik individu,” katanya.

Sehubungan itu, DPPM menyeru rakyat, khususnya golongan muda, untuk bangkit mempertahankan hak pemilikan tanah dan kediaman daripada digugat oleh mana-mana pihak.

“Kerajaan mesti menghentikan sikap angkuh dan kembali menghormati suara Parlimen serta hak rakyat. Sebarang rang undang-undang yang menyentuh soal hak rakyat mesti dibawa dengan cermat, telus dan berpaksikan prinsip keadilan,” katanya.

-- 1Media.my

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo