NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mahasiswa, NGO Serah Memorandum Desak Menteri Pendidikan Undur Diri

Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan GAMIS dan HARAM menganjurkan Himpunan Mogok bagi menuntut peletakan jawatan menteri pendidikan atas kegagalan beliau memimpin reformasi pendidikan negara di Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya. - Gambar : MalaysiaGazette

PUTRAJAYA, 21 Ogos — Sekumpulan mahasiswa dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menuntut pengunduran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, susulan dakwaan kegagalan kementerian menangani isu buli dan keganasan di institusi pendidikan.

Penyerahan memorandum itu berlangsung di hadapan bangunan KPM di sini dan diketuai Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Mohammad Azamuddin Sahar, yang mewakili lebih 10 NGO serta wakil mahasiswa.

Menurut Azamuddin, tindakan itu diambil berikutan beberapa insiden buli dan penderaan yang mendapat perhatian meluas, termasuk kes kematian pelajar Zara Qairina Mahathir pada 16 Julai lepas, pelajar yang mengalami kecederaan otak akibat dipukul, serta kes pelatih Palapes, Syamsul Haris, yang meninggal dunia dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata statistik KPM menunjukkan lebih 5,000 kes buli dilaporkan setiap tahun sejak 2023, menandakan peningkatan yang membimbangkan.

Memorandum itu merangkumi lima tuntutan utama iaitu:

  1. Penambahan bilangan kaunselor di sekolah, pembukaan talian hotline 24 jam, dan kerjasama strategik dengan NGO psikologi;

  2. Latihan trauma-informed untuk guru dan warden;

  3. Modul pendidikan ibu bapa bagi menyokong peranan keluarga dalam pencegahan buli;

  4. Pelaksanaan pemantauan bebas melalui penubuhan panel pemantau luar dan pendedahan data kes buli secara telus; serta

  5. Pelan Nasional Anti-Buli yang merangkumi sasaran, garis masa dan laporan berkala.

Selain itu, kumpulan tersebut turut menggesa pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah, penggubalan prosedur operasi standard (SOP) kes buli yang lebih jelas, pengukuhan kurikulum sivik, dan libat urus menyeluruh antara sekolah, NGO serta komuniti.

Azamuddin berkata pihaknya memberikan tempoh 30 hari kepada KPM untuk memberi maklum balas dan pelan pelaksanaan terhadap tuntutan yang dikemukakan.

“Sekiranya tiada tindakan diambil dalam tempoh tersebut, kami tidak menolak kemungkinan menggerakkan himpunan rakyat berskala besar sebagai tekanan terhadap pihak kerajaan,” katanya.

Setakat ini, KPM belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung memorandum yang diserahkan.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan dilaporkan berkata bahawa siasatan kes Zara Qairina dijalankan secara menyeluruh, dan kerajaan komited untuk memastikan semua pihak yang terlibat tidak akan dilindungi.

-- 1Media.my


........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo