KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden hari ini mengemukakan empat cadangan utama kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha menangani isu buli yang semakin membimbangkan di sekolah.
Cadangan tersebut dikemukakan susulan beberapa insiden buli dan keganasan melibatkan pelajar termasuk kes kematian pelajar perempuan, Zara Qairina Mahathir, yang kini dalam siasatan pihak berkuasa.
Menurut Afnan Hamimi, Pemuda PAS menggesa agar jawatan warden tetap diwujudkan di semua sekolah berasrama bagi memastikan pemantauan pelajar lebih berkesan tanpa menambah beban tugas kepada guru.
“Anak-anak kita perlukan pemantauan yang baik. Guru sudahpun dibebankan dengan pelbagai tugas lain,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya.
Cadangan kedua melibatkan pelaksanaan audit keselamatan dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik sekolah. Katanya, bukti visual amat penting bagi membantu siasatan serta mencegah kejadian berulang.
Pemuda PAS turut mencadangkan penggubalan dan penguatkuasaan Akta Anti-Buli bagi memastikan hukuman tegas dapat dikenakan tanpa kompromi terhadap pelaku yang terbabit dalam kes buli.
Cadangan keempat ialah penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Menangani Isu Buli, selaras dengan keperluan melindungi keselamatan murid dan pelajar sekolah.
“Jika isu dadah mempunyai jawatankuasa khas, mengapa nyawa dan keselamatan anak-anak kita tidak diberi keutamaan yang sama?” soal beliau.
Cadangan tersebut dikemukakan ketika tekanan awam terhadap KPM semakin meningkat berikutan laporan lebih 5,000 kes buli setahun sejak 2023, menurut statistik rasmi kementerian.
Setakat ini, KPM belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi terhadap cadangan yang dibawa oleh Ahli Parlimen tersebut.
-- 1Media.my
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |

No comments
Post a Comment