KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap platform media sosial Telegram serta pentadbir saluran Telegram Edisi Siasat dan Edisi Khas berikutan kandungan yang didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu membawa kepada pengeluaran satu perintah sementara oleh mahkamah yang mengarahkan kandungan terbabit diturunkan selain penutupan saluran-saluran tersebut.
“Pada masa ini, tindakan undang-undang yang difailkan terhadap Telegram serta pentadbir saluran Edisi Siasat dan Edisi Khas masih dalam pertimbangan mahkamah,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) yang meminta jaminan kerajaan agar tindakan terhadap saluran Telegram seperti Edisi Siasat dan Edisi Khas tidak menjejaskan kebebasan bersuara, khususnya kandungan berkaitan isu ketelusan dan antirasuah.
Mengulas lanjut, Fahmi menegaskan, rakyat bebas memaparkan kandungan di mana-mana platform media sosial termasuk yang menyentuh isu ketelusan dan antirasuah, selagi mana ia tidak melanggar undang-undang.
“Begitu juga dengan platform media sosial di mana kandungan boleh dipaparkan di platform yang disediakan tetapi platform tersebut perlu bertanggungjawab untuk memastikan kandungan yang dipaparkan tidak melanggar peruntukan undang-undang,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan, kerajaan akan terus komited untuk memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment