NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RM100 besar bagi orang kampung – PM



PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa hairan apabila terdapat segelintir pihak yang meremehkan pemberian RM100 secara sekali beri yang diumumkan kerajaan semalam.

Perdana Menteri berkata, padahal sumbangan itu merupakan tambahan kepada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan peruntukan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, apa yang diumumkan kerajaan itu mengikut peruntukan sedia ada sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk.

“Ada kata RM100 sahaja, tak apalah, kamu gaji  RM20,000 RM40,000 sebulan tetapi kalau pergi ke kampung ada (memerlukan). Ini tambahan seolah-olah yang diberi ini, dengar beberapa ahli Parlimen di Parlimen, kata RM100 sahaja.

“Dia tak baca ke? Bila saya sebut rabun mata dia marah, ini tambahan RM13 bilion ke RM15 bilion untuk tahun ini STR dan SARA. Kemudian SSPA (Sistem Saraan Perkhidmatan Awam) sebanyak 10  peratus tahun ini, 18 peratus tahun depan, ini  tambahan daripada yang telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Semalam  Anwar mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Perdana Menteri berkata pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup  dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.

Turut diumumkan harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.

Langkah itu tentunya bakal memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau perlu menunaikan janjinya untuk menurunkan harga petrol namun pelik apabil pembangkang mempertahankan tindakan yang tidak memberi subsidi sama kepada warga asing.

“Begitu juga penurunan harga minyak, itu saya kena buat walaupun masa kita bicara turun harga minyak, ada rasionalnya semasa harga minyak di Arab Saudi 50 sen.

“Sekarang harga minyak di Arab Saudi RM1.99 atau RM2.02. Bagaimanapun kita turun juga dan untuk orang asing kena ikut harga pasaran. Itu akan tetapkan kemudian

“Ada juga ketua parti pembangkang sebut, kenapa bebankan mereka. Saya rasa aneh, Ketua Pembangkang, hendak kata tidak cerdik, begitu keadaannya.

“Boleh tegur dan kritik saya tidak ada masalah. Bukan kita dera mereka dan rampas hak dia, ini subsidi dan bukan cukai tambahan mereka. Ini maknanya subsidi yang kita beri 0.50 sen setiap satu liter itu, kita tarik tidak beri subsidi kerana di negara dia harga lebih tinggi RM2.50,” katanya. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo