NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS kecam lelongan arak di sekolah, gesa KPM bertindak tegas




KUALA LUMPUR:
 Lajnah Pendidikan PAS Pusat melahirkan rasa sangat kesal dan kecewa terhadap penganjuran majlis lelongan arak di dewan sebuah sekolah rendah di Pontian, yang disifatkan sebagai satu penghinaan terhadap institusi pendidikan negara.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu amat memalukan dan mencemar imej sekolah sebagai tempat mendidik, bukan tempat melahirkan budaya negatif.

“Peristiwa ini membangkitkan persoalan besar kepada pihak pentadbiran sekolah dan juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Adakah sekolah kini bebas digunakan oleh mana-mana pihak luar untuk menganjurkan aktiviti yang bertentangan dengan nilai moral, budaya dan agama masyarakat Malaysia?

“Sekolah bukan tempat hiburan murahan. Sekolah bukan medan lelong arak,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih mengecewakan apabila insiden itu berlaku dalam suasana negara masih mengangkat tema Hari Guru iaitu ‘Guru Pemacu Reformasi Pendidikan’, yang sepatutnya menjadikan sekolah sebagai agenda reformasi dan ejen perubahan masyarakat.

“Ke mana hilangnya cita-cita untuk menjadikan persekitaran institusi pendidikan sebagai agen perubahan sekiranya nilai-nilai asas pendidikan pun diabaikan oleh pihak yang sepatutnya memeliharanya?” soalnya.

Beliau menegaskan, persekitaran sekolah sepatutnya bukan sahaja menjadi tempat penyampaian ilmu, tetapi juga ruang pembinaan akhlak, pengukuhan nilai dan pembentukan masa depan masyarakat.

“Tindakan membenarkan premis sekolah digunakan untuk aktiviti sebegini adalah satu penghinaan terhadap institusi pendidikan sebagai ejen perubahan komuniti.

“Sekolah bukan pusat komersial. Sekolah adalah pusat pembinaan nilai dan jati diri bangsa,” tegasnya.

Dr Mohamed Fadzli turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Ma’idah ayat 91 berhubung kesan buruk arak dalam masyarakat.

“‘Sesungguhnya syaitan itu hanya mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui (pengambilan) arak dan judi, dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Maka mahukah kamu berhenti (daripada perbuatan itu)?’” katanya memetik maksud ayat berkenaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar Kementerian Pendidikan Malaysia segera menjalankan siasatan penuh dan mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak yang terlibat dalam membenarkan penggunaan dewan sekolah untuk majlis sebegitu.

Beliau turut mencadangkan agar dasar dan garis panduan penggunaan premis sekolah oleh pihak luar diperketatkan supaya kejadian yang mencemarkan imej institusi pendidikan tidak lagi berulang.

Selain itu, katanya, sekolah perlu dikembalikan peranannya sebagai tempat yang dihormati, mendidik nilai, dan menyatukan masyarakat, bukannya menjadi tempat yang menjatuhkan maruah pendidikan.

Beliau menyeru semua guru, pentadbir pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), masyarakat sivil serta pihak berkuasa agar mempertahankan kesucian peranan sekolah dan guru dalam membina generasi masa depan yang rabbani, berintegriti dan bermaruah.

Terdahulu media tempatan melaporkan sekumpulan lelaki bertindak membaling kerusi ke arah pentas dalam satu majlis lelongan arak di dewan sebuah sekolah rendah di Pekan Nanas, Pontian kerana tidak berpuas hati dengan harga ditawarkan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata susulan kejadian itu, polis menahan 18 lelaki berusia 17 hingga 48 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 dan 427 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – HARAKAHDAILY 9/7/2025







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo