NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muda Sabah gesa SPRM siasat pemberian lesen arang batu



KOTA KINABALU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Sabah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pendedahan sebuah portal berita berkaitan dakwaan pemberian lesen cari gali arang batu yang dikaitkan dengan bekas setiausaha politik.

Pemangku Pengerusi Muda Sabah, Faezrah Rizalman berkata, pihaknya memandang serius dakwaan tersebut yang melibatkan kawasan lebih 70,000 hektar di Kalabakan dan Gunung Rara, Tawau, iaitu hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.

“Ia didakwa diberikan hanya dua minggu selepas individu tersebut dilantik sebagai pengarah syarikat berkenaan dan setelah lesen asal dibatalkan sebelum itu.

“Perkara ini menimbulkan persoalan besar yang tidak boleh diabaikan – adakah berlaku salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam kelulusan lesen ini?

“Soalan ini mesti dijawab dengan penuh ketelusan dan kebertanggungjawaban oleh semua pihak yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Muda Sabah berpendirian bahawa SPRM mesti segera menyiasat keseluruhan proses kelulusan lesen cari gali tersebut.

“Ini termasuk kemungkinan wujudnya konflik kepentingan melibatkan individu yang dekat dengan pimpinan tertinggi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Faezrah turut menggesa kerajaan Sabah memberikan penjelasan secara terbuka, termasuk mendedahkan minit mesyuarat dan semua surat-menyurat rasmi berkaitan.

“Moratorium serta-merta terhadap aktiviti cari gali dan perlombongan baharu di kawasan berkepentingan biodiversiti tinggi perlu dilaksanakan sehingga mekanisme ketelusan dan semakan bebas diwujudkan,” katanya.

Katanya lagi, ketika rakyat sedang bergelut dengan kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelbagai reformasi yang masih belum ditunaikan, pendedahan seperti ini tidak boleh dipandang ringan.

“Ia bukan sahaja melibatkan integriti pentadbiran di Sabah, malah mencerminkan kegagalan kerajaan Madani dalam menjunjung prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

“Kata orang Sabah ‘iri om iri’ (tiada perubahan). Jangan rakyat terus dihimpit, sedangkan pemimpin dan orang sekeliling mereka bebas memperdagangkan kuasa dan kedudukan tanpa rasa malu,” tegasnya.


Sumber | Sinar Harian








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo