JOHOR BAHRU - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menzahirkan kekecewaan baginda berhubung kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya mula beroperasi secara berfasa pada Ogos 2025, namun ditangguhkan ke Januari 2026.
Baginda bertitah, kelewatan tersebut serta beberapa kelemahan lain yang berlaku kebelakangan ini menjadi bukti pentingnya hasil negeri dikembalikan kepada Johor.
“Saya baru dimaklumkan mengenai kelewatan pembukaan Hospital Pasir Gudang yang sepatutnya dibuka secara berfasa bermula Ogos 2025 dan kecewa kerana ia telah ditangguhkan ke Januari 2026.
“Berikutan kelemahan-kelemahan baru-baru ini seperti isu gangguan sistem autogate di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), isu hospital, projek tebatan banjir dan sebagainya, ingin saya sampaikan kepada rakyat Johor betapa pentingnya cukai hasil pendapatan negeri Johor dikembalikan sekurang-kurangnya sebanyak 25 peratus kepada Johor,” titah baginda menerusi muat naik di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor.
Baginda bertitah, dengan pulangan cukai tersebut, Johor tidak lagi perlu terlalu bergantung kepada kerajaan Persekutuan atau menunggu lama bagi mendapatkan kelulusan peruntukan.
“Menerusi pulangan cukai itu, kita tidak perlu membebankan kerajaan Persekutuan atau memohon dan menunggu terlalu lama untuk mendapatkan kelulusan.
“Apabila hasil cukai pendapatan Johor sebanyak 25 peratus diberikan semula kepada Johor, ini bermakna Johor boleh berdiri di atas kaki sendiri,” titah baginda.
Tahun lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan telah meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pemberian semula antara 20 hingga 30 peratus hasil cukai yang dikutip dari Johor.
Baginda turut bertitah bahawa pada masa ini, kerajaan Johor menyumbang antara RM48 bilion hingga RM49 bilion setahun hasil cukai kepada kerajaan Persekutuan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
| ............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |


No comments
Post a Comment